SETIU, 19 JULAI– Masalah kesesakan jalan raya luar biasa yang menghantui pengguna laluan lencongan Jambatan Desa Jaya, Sungai Tong akhirnya mendapat jalan penyelesaian apabila dua buah bonggol yang dibina di kawasan tersebut bakal dibuang semula dengan kadar segera hari ini.
Ahli Parlimen Setiu menerusi satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau memaklumkan, tindakan itu diambil susulan aduan dan keluhan berat yang diterima daripada orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan.
Menurut beliau, struktur tersebut telah menyebabkan aliran trafik terganggu sehingga mencetuskan kesesakan yang panjang.
"Daripada aduan dan rungutan pengguna jalan raya, pembinaan dua bonggol di laluan lencongan berkenaan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas (jem) yang teruk sehingga sepanjang 3 kilometer (KM).
"Pihak kami telah mengambil maklum perkara tersebut dan segera memanjangkannya kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan," katanya.
Beliau menambah, susulan rundingan segera yang dijalankan bersama agensi berkaitan, pihak JKR telah memberikan maklum balas yang positif demi keselesaan pengguna.
"Alhamdulillah, setelah perbincangan diadakan bersama pihak yang terlibat, JKR telah memaklumkan bahawa bonggol tersebut akan dibuang semula pada hari ini, insya-Allah," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKR atas tindakan pantas yang diambil, serta semua pihak yang memberikan kerjasama erat dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Beliau berharap dengan pembuangan semula bonggol tersebut, urusan harian pengguna jalan raya akan menjadi lebih lancar, selamat, dan bebas daripada kesesakan yang membuang masa.