• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

COVID-19 : Tentera Mula 'Turun Padang' Bantu Operasi

Pasukan ATM berkumpul ketika sesi taklimat di Kuala Terengganu petang tadi.
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Seramai 169 anggota pasukan beruniform Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) mula turun membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaksanakan Operasi Covid-19 di sekitar bandar Kuala Terengganu, bermula jam 8.00 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pasukan bantuan itu terdiri daripada 116 pegawai dan anggota daripada Batalion Kelima Rejimen Renjer DiRaja Kem Desa Pahlawan Kelantan, 42 pegawai dan anggota Batalion Kesembilan PGA Gong Kem Badak serta 11 pegawai dan anggota Unit Enam FRU Wakaf Tapai.

“Kita telah dapat bantuan anggotan bagi tujuan melaksanakan tugas-tugas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam memastikan masyarakat mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan supaya mereka berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting sebagaimana ditetapkan dalam arahan yang dikeluarkan.
Abdul Rahim Md Din.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tugasan melibatkan sekatan jalanraya (SJR) dengan kekuatan tiga anggota bagi membantu tiga anggota PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat Join Force Berkenaan Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini, petang semalam.

Jelasnya, sebanyak lima SJR telah diatur bagi daerah Kuala Terengganu iaitu di kawasan Chendering, Jalan Wakaf Beruas, Losong, Batu Enam dan Batu Rakit.

Tambahnya, ATM juga akan terlibat dalam rondaan bersama PDRM dengan kekuatan dua anggota setiap pasukan bagi satu unit kenderaan.


“Anggota PGA pula akan membuat kawalan keselamatan di dua kawasan yang dikuarantin iaitu Madrasah Kubang Bujuk dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali, Batu Rakit.

“Anggota FRU akan bertugas melaksanakan rondaan-rondaan laindi sekitar Kuala Terengganu,” katanya yang turut menasihati penduduk Kuala Terengganu mematuhi arahan PKP dengan duduk di rumah.

Beliau berharap tiada lagi pergerakan di luar rumah tanpa alasan-alasan yang munasabah.

“Sekiranya mereka masih tak mematuhi PKP, kita akan ambil tindakan tegas. Namun, kita masih dalam mood nasihat supaya mereka duduk di rumah.

“Setakat ini, kita masih tidak mengambil sebarang tindakan keras seperti menangkap dan sebagainya sebaliknya, masih dalam tindakan menasihat lagi,” katanya.



Tag: