• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 1 Disember – Situasi semasa pandemik COVID-19 di negeri ini dilaporkan masih terkawal dengan hanya dua kluster aktif berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga 29 November.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kluster aktif tersebut iaitu kluster Makekar (mukim Rasau) dan kluster Kerengge (Marang) daripada keseluruhan sembilan kluster yang telah direkodkan sehingga kelmarin di Terengganu.

“Sebahagian besar sudah tamat terutama di mukim Rasau dimana telah kembali ke zon hijau dan tiada lagi zon merah dan jingga di dalam negeri.

“Manakala Zon kuning di daerah Marang terutamanya di Merchang, Rusila dan Pulau Kerengge (kluster Kerengge) dengan 8 kes aktif berada dalam wad ditambah dengan satu lagi kes baharu pada 29 November menjadikan keseluruhan 237 kes positif COVID-19 dengan satu kematian.

“Sejak 12 Mac lalu, gelombang pertama di Terengganu merekodkan 114 kes akibat penularan daripada kluster Sri Petaling manakala gelombang kedua melibatkan 123 kes tempias daripada negeri berisiko seperti Sabah, Selangor dan lain-lain,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman, pagi semalam.

Mengulas mengenai musibah banjir dalam norma baharu, beliau berkata, tiada kes dilaporkan daripada 40 lebih Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka sehingga akhir bulan november.

“Ini adalah hasil Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan agensi dan jabatan negeri dari peringkat awal bagi membendung penularan kerana risiko kesempitan dan kesesakan di PPS perlu diatasi.” ulasnya.

Apabila ditanya mengenai kes denggi sehingga akhir bulan November, Dr Nor Azimi berkata, terdapat penurunan sebanyak 27.7 peratus berbanding kes pada tahun lepas.

“379 kes direkodkan sehingga 21 November, penurunan ini hasil daripada kawalan kendiri seperti gotong-royong oleh masyarakat dan pelbagai jabatan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pihak berkuasa tempatan.

“Harapan supaya usaha dan kerjasama dalam menjaga kebersihan dan pembasmian takungan air terutamanya musim hujan renyai ini terus dipergiatkan demi komuniti sejagat,” katanya lagi.