DUNGUN, 4 Jun – Seramai 943,161 pelancong dianggarkan mengunjungi Terengganu sepanjang musim cuti Aidiladha yang berlangsung dari 22 Mei hingga 1 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, anggaran tersebut dibuat berdasarkan rekod kemasukan sebanyak 419,183 kenderaan melalui plaza tol Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk kemasukan motosikal, pengguna jalan Persekutuan dari Besut dan Kemaman serta pelancong yang tiba melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.
“Kehadiran pelancong yang tinggi telah merancakkan sektor pelancongan negeri dan memberi manfaat kepada ekonomi penduduk setempat.
“Walaupun sebahagian pengunjung merupakan anak tempatan yang menetap di negeri lain, mereka tetap berbelanja sepanjang tempoh percutian termasuk bagi tempahan hotel, inap desa dan makanan, “ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) Denai Sungai Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Taman Tasik Tanjung Sura, di sini pada Khamis.
Razali berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mendapatkan data keseluruhan perbelanjaan pelancong di negeri itu.
“Sebanyak 20 peratus daripada jumlah pelancong tersebut merupakan pelancong luar negara, iaitu dari China, Singapura dan Thailand.
“Insya-Allah, sasaran kehadiran sembilan juta pelancong ke Terengganu tahun ini mampu dicapai selepas negeri itu merekodkan 2.45 juta pelancong bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, “ ujarnya.

Tag :