• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

KUALA NERUS, 1 Ogos- Penyerang, David Da Silva hampir menjadi 'hero' dalam aksi yang berkesudahan seri 0-0 antara Terengganu Football Club (Terengganu FC) dan Sabah FC pada saingan Liga Super Malaysia 2021, malam ini.

Gol jaringan David Da Silva melalui sepakan percuma pada minit ke-88 bagaimanapun dibatalkan pengadil apabila Mohammad Rahmat Makasuf yang berada dalam kedudukan offside dikatakan melakukan gerakan ke arah bola dan menghalang penjaga gol lawan, Rozaimie Rohim.

Beraksi di laman sendiri, anak buah Nafuzi Zain turun tanpa pemain tengah, Makan Konate yang digantikan dengan Argzim Redzovic.

Seawal minit pertama, Terengganu FC menggasak hebat kubu pelawat dengan corak serangan pantas.

Manakala, Sabah FC yang membariskan penyerang Mohd Amri Yahyah dan Saddil Ramdani di bangku simpanan lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, peluang terbaik Sang Penyu hanya hadir pada minit ke-41 apabila lorongan Faisal Halim berjaya menemui Dechi Marcel yang lolos dari kawalan pertahan dalam kotak penalti.

Sayang, rembatannya menerjah palang sebelum terbias mengenai David Da Silva dan dikuis keluar Risto Mitrevski.

Kedudukan kekal tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sang Badak mengubah corak permainan dan lebih banyak melakukan serangan dengan kemasukan duo serangannya, Amri dan Saddil.

Nafuzi pula memasukkan pasangan Mohamad Hakimi Abdullah dan Mohammad Rahmat Makasuf bagi menggandakan serangan untuk mencari jaringan awal.

Pada minit ke-88, hasrat Terengganu FC untuk mendapatkan tiga mata berkecai setelah gol David Da Silva dibatalkan pengadil.

Kedudukan kekal 0-0 sehingga tamat perlawanan.

 

 

 


Tag: