• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

DACS Kemaman Santuni Pelumba Muda

KEMAMAN, 16 Oktober - Department of Arts, Culture & Sport (DACS) Kawasan Kemaman berpeluang menyantuni pelumba muda yang sedang meningkat naik.

Muhammad Asyraf Zailani, 22, berasal dari Kampung Meraga Beris, Kijal kini sedang mencipta nama di persada sukan permotoran cubcross di negeri Terengganu.

Asyraf tempoh hari telah berjaya menaiki beberapa podium di antaranya ialah di Terbuka Cubcross sempena Kemaman Track Day 2021. Dengan kemahiran dan semangat juang tinggi yang dimiliki, dia dinobatkan sebagai juara kategori berkenaan di Litar Monica Bay.

Pengerusi DACS Kawasan Kemaman, Mohd Takiyuddin Mohd Shaffee mewakili Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK) optimis agar lebih ramai lagi bakat baharu di sukan permotoran ini dapat dilahirkan bagi mengharumkan nama daerah Kemaman.

Takiyuddin (tengah) bersama pasukan Asyraf dan piala yang digondol.

"Kami berharap lebih ramai lagi pelumba muda seperti Asyraf dapat dicungkil dan diasah bakatnya bagi melahirkan produk yang bermutu dan digeruni lawannya.

"Bukan sahaja dapat mencetak nama di peringkat negeri malah ke peringkat negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa," ucapnya.

Kejayaan terbaru Asyraf adalah selaku naib juara dalam kategori cubcross di Kejohanan Fun Race Track Terengganu sempena Hari Sukan Negara yang diadakan di Panchur Kuin, Batu Rakit.

Takiyuddin ditemui di majlis keraian kejayaan Asyraf di Pusat Tarbiyah PAS Bukit Kemuning anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal tempoh hari.

Jentera Honda Wave 125cc yang dikendalikan Asyraf.

Asyraf yang mengendalikan jentera Honda Wave 125cc merupakan anak kedua daripada empat adik beradiknya yang kini pasukannya bernaung di bawah pengurusan Geng Cubcross Kijal Kemasik (GCKK).

Beberapa cenderahati dihulurkan kepada pelumba muda itu dan pasukannya sebagai tanda penghargaan dan sokongan oleh DACS Kemaman yang merupakan salah satu entiti di bawah DPPKK.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Mohamad Haiqal Safie beserta ahli jawatankuasanya dan ahli jawatankuasa Pemuda PAS DUN Kijal.

Takiyuddin turut memaklum akan menganjurkan Kejohanan Cubcross Tertutup Kemaman dalam masa terdekat ini dengan mempertandingkan beberapa kategori bagi mengalakkan dan melahirkan bakat-bakat baharu dalam dunia sukan pemotoran cubcross di Kemaman.


Tag: