lightning-solid
Berita :
Dakwah Perlu Sampai ke Rumah, Tempat Kerja
Dakwah Perlu Sampai ke Rumah, Tempat Kerja
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
63

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Dakwah perlu diperluaskan melalui pelbagai medium dan tidak hanya tertumpu di masjid atau mimbar bagi memastikan mesej agama dapat sampai kepada masyarakat dalam kehidupan seharian.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penggunaan media seperti radio membolehkan mesej berkaitan agama dan syariat disampaikan ketika masyarakat berada di rumah, tempat kerja mahupun dalam perjalanan.

“Dakwah tidak boleh hanya disampaikan di masjid atau di mimbar. Dakwah perlu sampai ke rumah, ke tempat kerja, ketika masyarakat berada dalam perjalanan dan di mana sahaja mereka berada.

“Di sinilah pentingnya peranan media. Melalui radio, mesej-mesej agama boleh disampaikan secara ringkas, santai dan mudah difahami oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Penyerahan Bantuan kepada Pengurusan Jawatankuasa Masjid Negeri Terengganu dan Majlis Pelancaran Program Kapsul Indahnya Hidup Bersyariat di Damai Lounge, U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, di sini.

Menurut Muhammad Khalil, Kapsul Dakwah Indahnya Hidup Bersyariat yang disiarkan menerusi Manis FM menampilkan pengisian dakwah oleh pendakwah, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang.

Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa kehidupan bersyariat bukan bermaksud kehidupan menjadi sempit, sebaliknya syariat menyediakan panduan dalam mengurus pelbagai aspek kehidupan.

“Syariat mengajar kita bagaimana untuk beribadah, membina keluarga, mencari rezeki, berakhlak dan berhubung sesama manusia.

“Syariat Islam ini satu syariat yang indah, bukan syariat yang payah atau sempit, tetapi syariat yang diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan kita,” katanya.

Muhammad Khalil berkata, penggunaan radio sebagai medium dakwah juga bersesuaian dengan rutin masyarakat hari ini yang banyak menghabiskan masa di dalam kenderaan.

Menurutnya, kapsul berkenaan disiarkan setiap Ahad hingga Khamis pada jam 7.30 pagi, manakala siaran ulangan pada jam 5.30 petang.

“Kita pilih dua masa ini kerana ia merupakan waktu orang pergi dan balik kerja. Jadi sambil membawa kereta, menunggu di lampu isyarat, mereka boleh mendengar kuliah dan penyampaian ringkas berkaitan syariat,” ujarnya.

Beliau berkata, kandungan kapsul itu turut merangkumi pelbagai segmen termasuk keluarga, anak muda, belia, wanita dan golongan bekerja bagi memastikan mesej dakwah dapat disesuaikan dengan keperluan masyarakat.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, pendekatan berkenaan juga penting bagi menangkis pelbagai label negatif yang dilemparkan terhadap syariat Islam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Insaf Travel Sdn Bhd selaku penaja Kapsul Dakwah berkenaan serta berharap kerjasama antara kerajaan, pihak swasta, media dan pendakwah dapat diteruskan.

“Usaha membina masyarakat yang lebih dekat dengan agama memerlukan penglibatan semua pihak dan bukan hanya bergantung kepada kerajaan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan