KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Keprihatinan masyarakat dari pelbagai latar belakang berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM48,083.02 bagi membantu Wah Tee Tun kembali mencari rezeki selepas van yang menjadi sumber pendapatannya musnah dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa anaknya, Wah Han Keong, pada 19 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha berkenaan.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan. Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah dan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT.
"Semoga sedikit bantuan ini mampu meringankan beban yang dipikul dan menjadi bukti bahawa ketika seseorang diuji, masih ramai yang sedia menghulurkan tangan, insya-Allah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi sebuah hantaran akaun Facebook rasminya, baru-baru ini.
Inisiatif yang digerakkan bersama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu itu pada awalnya menyasarkan kutipan sebanyak RM30,000 dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan Wah Tee Tun membeli sebuah van terpakai.
Jumlah sasaran tersebut hanya mengambil masa selama tiga hari apabila kutipan mencecah RM31,753.02, sebelum terus meningkat kepada RM48,083.02 pada akhir kutipan, hasil sumbangan orang ramai.

Di samping itu, usaha murni tersebut turut dibantu Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sallehudin Harun, yang dilantik oleh Dato' Wan Sukairi bagi membantu keluarga Wah Tee Tun.
"Kami bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan usaha membantu Encik Wah Tee Tun dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin," kata Cheng kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi, semalam.
Tambah Cheng, seramai 216 penderma dari seluruh negara, termasuk Singapura, tampil menghulurkan sumbangan selain beberapa organisasi dan syarikat swasta.
"Selain itu, terdapat juga organisasi dan beberapa syarikat swasta yang kami sendiri tidak pernah kenali sebelum ini.
"Ini menunjukkan kisah Encik Wah Tee Tun benar-benar menyentuh hati masyarakat tanpa mengira latar belakang," katanya.
Menurutnya lagi, keputusan yang dibuat untuk membeli sebuah van berbanding menyalurkan wang tunai dibuat kerana ia mampu memberikan penyelesaian yang lebih berkekalan kepada penerima.
"Sejak awal lagi, matlamat kami sangat jelas iaitu membantu Encik Wah Tee Tun kembali mencari rezeki seperti sebelum ini. Bukannya sekadar memberi bantuan sekali sahaja.
"Dalam kemalangan yang berlaku, van yang digunakan untuk bekerja mengalami kerosakan teruk (total loss). Akibatnya, beliau kehilangan punca pendapatan selama lebih dua bulan.
"Jadi, membeli sebuah van merupakan penyelesaian yang lebih mampan kerana ia membolehkan beliau kembali bekerja dan berdikari," jelasnya kepada pemberita.
Mengulas kejayaan kempen berkenaan, Cheng berkata sambutan yang diterima membuktikan semangat kemanusiaan masih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Bagi saya, kejayaan kutipan dana ini membuktikan bahawa hubungan sesama manusia sangat bernilai.
"Walaupun berbeza bangsa, agama dan latar belakang, masyarakat Malaysia masih mempunyai rasa simpati, belas kasihan dan semangat saling membantu apabila melihat seseorang benar-benar memerlukan pertolongan," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian pada 19 Mei lalu, Wah Tee Tun kehilangan anaknya, Wah Han Keong, manakala van yang digunakan sebagai punca mencari rezeki turut mengalami kerosakan teruk sehingga tidak lagi boleh digunakan.
Penyerahan van terpakai itu bukan sekadar bantuan semata-mata, namun menjadi simbolik kepada penyatuan kaum berbilang bangsa tanpa mengira latar belakang yang menjadikan negeri Terengganu kekal sebagai sebuah negeri yang harmoni.
"Hari ini, mungkin Encik Wah Tee Tun yang sedang diuji. Esok lusa, mungkin kita pula yang memerlukan pertolongan orang lain.
"Sebab itu, saya juga berharap kita semua akan terus memupuk sikap saling membantu dan bertimbang rasa sesama insan tanpa mengira kaum dan agama," ujar Cheng.