Jalur Gemilang
Berita :
Dari Dusun Terbiar ke Pasaran Dunia, Durian Kampung Terengganu Makin ‘Berbisa’
Dari Dusun Terbiar ke Pasaran Dunia, Durian Kampung Terengganu Makin ‘Berbisa’
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
59

HULU TERENGGANU, 9 September – Kerajaan Terengganu terus memperkukuh industri durian Kampung menerusi usaha pemulihan dusun terbiar bagi menjadikan tanaman berusia puluhan tahun itu sebagai sumber pendapatan yang berdaya saing, termasuk menembusi pasaran antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, pendekatan itu membuktikan durian kampung Terengganu mempunyai kualiti yang mampu bersaing dengan durian klon, sekali gus wajar dimartabatkan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, usaha berkenaan dilaksanakan secara berterusan melalui pemulihan dusun, pembajaan, pembetulan pH tanah, penyediaan sistem pengairan serta kawalan musuh tanaman dengan kerjasama pemilik kebun dan Jabatan Pertanian.

“Kerajaan tidak memerlukan idea baharu kerana apa yang kita laksanakan sekarang sudah menunjukkan hasil. Cuma usaha ini perlu diteruskan kerana masih banyak tugas yang belum diselesaikan.

“Matlamat kita adalah memastikan kebun-kebun durian yang berusia belasan hingga puluhan tahun mampu menjadi sumber ekonomi kepada pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu 2026 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Terengganu di Dewan Besar Kompleks Pertanian Negeri Ajil, hari ini.

Menurut Azman, permintaan terhadap durian Kampung Terengganu juga semakin berkembang apabila pengeksport dari China turut datang ke negeri ini untuk mendapatkan bekalan.

“Durian yang mencapai tahap kematangan sekitar 70 hingga 80 peratus boleh dieksport dalam keadaan segar. Dari segi permintaan, Alhamdulillah, kita melihat ia semakin baik.

“Sebab itu walaupun pengeluaran durian tahun ini tinggi, kita tidak melihat berlaku lambakan yang terlalu serius,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan produk hiliran bagi memastikan hasil durian dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak bergantung kepada pasaran buah segar semata-mata.
Katanya, durian boleh dipelbagaikan kepada produk seperti aiskrim, kek dan pelbagai produk makanan lain yang mampu meningkatkan nilai tambah serta pendapatan pekebun.

“Kita melihat keseluruhan rantaian nilai. Kita tidak boleh hanya menyelesaikan satu atau dua aspek tetapi akhirnya pekebun berdepan masalah pada peringkat lain.

“Mana-mana halangan atau kekangan yang dikenal pasti, Kerajaan perlu berusaha membantu supaya pekebun dapat mencari rezeki dalam ekosistem yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, pertandingan tahun ini menghimpunkan 23 penyertaan pekebun durian Kampung dari seluruh daerah di Terengganu, sebelum tiga peserta terbaik dipilih oleh panel juri profesional.

Azman berkata, kejayaan pekebun dari kelompok Dusun Nukleus Bukit Gondang, Sungai Serai dan Lubuk Batu di Marang turut membuktikan keberkesanan program pemulihan dusun yang dilaksanakan Kerajaan negeri.

Jelas beliau, kawasan berkenaan sebelum ini berdepan masalah seperti dusun dipenuhi semak samun, tanah berasid, serangan musuh tanaman serta kekurangan infrastruktur.

“Sekarang kita sudah nampak hasilnya. Dalam pertandingan Durian Kampung Premium peringkat negeri, pekebun dari kelompok Bukit Gondang hampir setiap tahun berada dalam kelompok tiga terbaik.

“Ini antara contoh paling dekat bagaimana usaha pemulihan yang dilakukan secara berterusan mampu mengubah dusun terbiar menjadi aset ekonomi,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan