Jalur Gemilang
Berita :
Daun Kelapa Pemanggil Rezeki di Lautan
Daun Kelapa Pemanggil Rezeki di Lautan
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Bagi kebanyakan nelayan, daun kelapa bukan sekadar sisa tumbuhan yang terbiar, sebaliknya mampu menjadi 'pemanggil' rezeki apabila diolah dengan kaedah tertentu sebelum dilabuhkan ke laut.

Daun berkenaan dimanfaatkan sebagai bahan utama membentuk rumah ikan dikenali sebagai unjam, kaedah yang umum digunakan nelayan termasuk di Terengganu bagi menarik kehadiran ikan ke sesuatu kawasan.

Walaupun jangka hayat unjam biasanya lebih pendek dan perlu diganti dari semasa ke semasa, penggunaan unjam menjadi pilihan kerana kos penyediaannya lebih rendah berbanding tukun yang lazimnya menggunakan bahan bersifat kekal.

Selain perbezaan dari segi struktur dan bahan, unjam dan tukun turut mempunyai sasaran spesies ikan yang berbeza.

Unjam lebih sesuai untuk menarik kumpulan ikan pelagik seperti selar, kembung dan selayang yang kebiasaannya bermain di permukaan serta pertengahan air.

Tukun pula lebih tertumpu kepada kumpulan ikan demersal yang mendiami kawasan dasar laut, dengan struktur yang ditenggelamkan lazimnya menggunakan konkrit atau vesel kapal yang dilupuskan.

Bagi membentuk sesebuah unjam, daun kelapa dijadikan struktur utama untuk menyediakan tempat perlindungan kepada ikan. 

Manakala, tali digunakan untuk mengikat bahagian berkenaan dengan pelampung dan pemberat.

Pemberat pula lazimnya menggunakan konkrit atau guni berisi pasir, bergantung kepada kesesuaian lokasi, bagi memastikan unjam kekal berada di lokasi yang dikehendaki.

Menurut nelayan laut lepas yang berpangkalan di Marang, Mohamad Zubir Mohd, 41, daun kelapa menjadi pilihan awak-awaknya untuk dijadikan sebagai unjam.

"Selain daripada daun kelapa, daun teje dan daun asam jawa pun biasa orang guna untuk buat unjam.

"Tapi kita biasa guna daun kelapa, sebab bau masam dia itu lagi kuat memanggil," katanya ketika ditemui di Pulau Kapas, Marang, baru-baru ini.

Menurutnya, ikan tidak akan terus berkumpul berhampiran unjam sebaik sahaja struktur berkenaan dilabuhkan, sebaliknya memerlukan tempoh tertentu sebelum mencapai 'kematangan'.

"Tengoklah, biasanya ambil masa seminggu ke 10 hari untuk tunggu dia (ikan) masuk ke kawasan unjam, bila daun jadi masam biasanya dia dah ada," ujarnya.

Zubir berkata, dia bersama rakan-rakan sekerjanya kini giat mengumpul daun kelapa di pulau berkenaan sebagai persediaan menyediakan unjam untuk dimanfaatkan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) yang semakin hampir.

"Kita cari daun ini kalau boleh nak dalam 1000 pelepah, sekarang ini rasanya dalam 500 pelepah dah kita ada.

"Cari buat 'standby' untuk monsun nanti," katanya.

Daun kelapa berkenaan turut mempunyai nilai ekonomi apabila boleh dijual pada harga sekitar RM2 bagi setiap pelepah, bergantung kepada persetujuan antara pemilik pokok dan pembeli.

Bagi para nelayan, proses mengumpul daun serta menyediakan unjam secara bergotong-royong, daripada mengumpul pelepah sehinggalah menyediakan tali dan pemberat, adalah suatu amalan yang biasa dilakukan bersama.

Aktiviti gotong-royong itu secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada tradisi turun temurun dalam kalangan awak-awak kelaut, selain mengeratkan hubungan persaudaraan dalam menduga rezeki di samudra.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan