Berita :
Deklarasi Alam Melayu Gesa Umat Islam Bersatu Pertahan Kuasa Politik
Deklarasi Alam Melayu Gesa Umat Islam Bersatu Pertahan Kuasa Politik
Husaif Mamat
3 jam yang lepas
180

KUALA NERUS, 4 April – Deklarasi Alam Melayu 2026 menggesa seluruh pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi mempertahankan serta menjamin kuasa politik umat Islam, sekali gus meletakkan agenda penyatuan sebagai teras utama masa depan ummah di rantau ini. 

Deklarasi itu dibacakan oleh Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha Induk Program, pada penutup Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang menghimpunkan pemimpin, ulamak, sarjana serta tokoh masyarakat dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam di Terengganu. 

Dalam deklarasi tersebut, sidang berkenaan menegaskan bahawa asas perpaduan umat Islam mesti dibina di atas landasan agama, bukan kepentingan sempit atau perpecahan kelompok.

“Meyakini bahawa Islam adalah asas perpaduan ummah yang berpaksikan keadilan, kesederhanaan dan kebenaran bagi menjamin kesejahteraan sejagat merentasi bangsa, budaya dan geografi,” kata Wan Sukairi ketika membacakan teks deklarasi itu. 

Nada deklarasi itu kemudian menjadi lebih tegas apabila soal kuasa politik umat Islam disentuh secara langsung sebagai perkara yang perlu dipelihara bersama.

“Menggesa semua pemimpin, parti politik dan pertubuhan umat Islam supaya bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam,” katanya lagi. 

Penegasan itu memberi isyarat jelas bahawa sidang berkenaan melihat perpecahan sebagai ancaman besar kepada kekuatan umat, terutama dalam keadaan dunia Islam dan masyarakat serantau terus berdepan pelbagai cabaran geopolitik, sosial dan pemikiran.

Deklarasi sama turut menekankan bahawa kepimpinan yang mahu diangkat mestilah datang daripada kelompok yang bukan sahaja diterima masyarakat, malah mempunyai nilai moral dan keupayaan mentadbir.

“Memastikan pemimpin yang dilantik adalah dalam kalangan individu yang bertakwa, berintegriti dan kompeten bagi menjamin kesejahteraan ummah,” menurut deklarasi yang dibacakan itu. 

Selain menyeru penyatuan politik umat Islam, deklarasi berkenaan turut menyatakan sokongan terhadap Risalah Amman (The Amman Message) yang memperakui pengikut kesemua lapan mazhab sebagai ahli kiblat, sebagai pendekatan untuk menangani perbezaan dan mengelakkan pertembungan antara mazhab. 

Dokumen itu turut mengangkat beberapa agenda lain yang dianggap penting dalam memperkukuh Alam Melayu, termasuk usaha menilai dan mendokumentasikan semula sejarah peradaban dan ketamadunan Islam Alam Melayu, membetulkan silibus sejarah di institusi pendidikan, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi serantau, mengarusperdanakan tulisan Jawi, serta memperkukuh ekonomi ummah melalui jaringan perniagaan dan rantaian bekalan produk Muslim. 

Sebagai langkah susulan, deklarasi itu turut mengumumkan bahawa Sekretariat Alam Melayu akan ditubuhkan berpusat di Kuala Lumpur dengan melibatkan para pemimpin, ulamak, sarjana dan tokoh masyarakat sebagai komitmen untuk menjayakan agenda yang telah dipersetujui. 

Deklarasi tersebut dimuktamadkan di Terengganu Darul Iman hari ini, 4 April 2026 bersamaan 15 Syawal 1447H. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan