Berita :
Dr. Khalil Senarai 10 Sebab Perang AS-Israel Terhadap Iran ‘Gagal’
Dr. Khalil Senarai 10 Sebab Perang AS-Israel Terhadap Iran ‘Gagal’
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
118

KUALA TERENGGANU, 8 April – Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi merumuskan perang yang digerakkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Republik Islam Iran gagal mencapai matlamat strategiknya, meskipun Washington dan Tel Aviv terus menggambarkan kempen ketenteraan itu sebagai kejayaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwahdan Pemerkasaan Syariah negeri itu menyenaraikan 10 sebab bagi menyokong rumusan tersebut, antaranya kegagalan menjatuhkan kerajaan Iran, melumpuhkan teknologi nuklear dan roket negara itu, serta mematahkan rangkaian sekutu Tehran di Asia Barat.

Kenyataan Dr. Khalil muncul ketika konflik memasuki minggu keenam, dalam keadaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sendiri bersetuju menggantung pengeboman ke atas Iran selama dua minggu bagi membuka ruang kepada rundingan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Iran tidak menjadi, sebaliknya mencetuskan penyatuan rakyat negara itu untuk mempertahankan tanah air dan berdiri di belakang kepimpinan mereka.

Menurutnya lagi, serangan ke atas fasiliti strategik Iran juga gagal memusnahkan keupayaan nuklear negara itu secara tuntas kerana kekuatan sebenar Tehran bukan terletak semata-mata pada bangunan atau infrastruktur, tetapi pada kepakaran tenaga manusianya.

"Amerika Syarikat dan Israel gagal melumpuhkan teknologi roket Iran, walaupun kedua-duanya sebelum ini mendakwa banyak pelancar dan kemudahan strategik telah dimusnahkan. 

"Serangan balas Iran ke atas Israel dan kepentingan Amerika di Asia Barat yang masih berterusan menjadi bukti bahawa keupayaan itu belum berjaya dipatahkan sepenuhnya," katanya. 

Dalam senarai sama, Dr. Khalil juga berkata Amerika Syarikat gagal melindungi keseluruhan asetnya di negara-negara Arab, selain gagal menghalang Israel daripada terus dihujani roket yang, menurutnya, datang bukan sahaja dari Iran tetapi juga daripada sekutu Tehran di Lubnan dan Yaman.

Beliau turut mengaitkan 'kegagalan' itu dengan isu Selat Hormuz, dengan mendakwa Washington tidak berjaya memaksa laluan strategik itu dibuka semula melalui tekanan antarabangsa. 

Semalam, China dan Russia sememangnya memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan menyelaraskan perlindungan perkapalan komersial di Selat Hormuz, ketika laluan berkenaan kekal terganggu akibat perang. 

Dr. Khalil seterusnya mendakwa Amerika Syarikat gagal merampas uranium diperkaya Iran apabila operasi di Isfahan dipatahkan. Setakat pertengahan Mac lalu, ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi, berkata hampir separuh uranium Iran yang diperkaya sehingga 60 peratus dipercayai berada di kompleks terowong di Isfahan dan kemungkinan masih kekal di situ. 

Dalam kenyataan itu, beliau juga mendakwa Washington gagal menghapuskan 'proksi' utama Iran, khususnya Hezbollah di Lubnan, walaupun kumpulan itu menerima tamparan besar susulan kematian pemimpin utamanya, Hassan Nasrallah, yang disahkan terbunuh pada September 2024. 

Dr. Khalil turut berhujah bahawa sekutu rapat Amerika Syarikat di Eropah tidak menunjukkan sokongan menyeluruh terhadap perang berkenaan, manakala di dalam negara itu sendiri, wujud penentangan yang semakin ketara termasuk daripada kalangan Republikan. 

Reuters hari ini melaporkan ancaman dan tindakan Trump terhadap Iran turut menggelisahkan sebahagian pemimpin Republikan sendiri. 

"Amerika Syarikat gagal meyakinkan rakyatnya sendiri bahawa peperangan ini demi kepentingan negara," kata Dr. Khalil.

Beliau mendakwa apa yang semakin terserlah ialah tanggapan bahawa peperangan tersebut lebih didorong oleh kepentingan Israel berbanding kepentingan nasional Amerika Syarikat sendiri.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan