• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Drawbridge mendapat pengiktirafan tertinggi di persada dunia setelah meraih Anugerah Kecemerlangan Pelancongan kategori Ikon Baharu Malaysia Terbaik tahun 2020 (Best Malaysian Ikon).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kejayaan tersebut adalah pengiktirafan atas usaha kerajaan negeri dan sektor pelancongan termasuk yang sebelum ini.

“Terima kasih kepada Malaysia Tourism Council yang menyampaikan anugerah ini, walaupun sepatutnya diterima di Berlin, Jerman, namun dengan kekangan COVID-19, majlis tersebut terpaksa dibatalkan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah World Excellence Tourism Awards di Puncak Gamelan, Primula Beach Hotel, di sini, malam semalam.

Turut hadir, Presiden  (Majlis Pelancongan Malaysia) MTC, Uzaidi Udanis dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim serta para penggiat industri perhotelan dalam negeri.

Kata Ariffin lagi, jumlah pengunjung ke jambatan itu sejak dibuka 1 Ogos 2019 dianggar sehingga ratusan ribu pengunjung.

“Dalam masa beberapa bulan seperti September dan Oktober tahun lalu, dalam 200 ribu lebih sebulan jumlah kehadiran melimpah ruah yang datang untuk bergambar di situ dan kawasan datarannya," jelasnya.

Jelas Ariffin, perancangan baharu untuk Drawbridge adalah pembukaan restoran di atas jambatan tersebut.

“Namun begitu, kita masih dalam proses pemutihan dan pemilihan pengusaha yang layak, ramai tawaran yang diterima tetapi kita masih menunggu keadaan supaya lebih stabil selepas pandemik ini surut kembali," katanya.

Sementara itu, Uzaidi Udanis memaklumkan bahawa negeri Terengganu sahaja telah mendapat pengiktirafan ikon bertaraf dunia sedemikian.

“Rakan-rakan eropah dan Amerika Syarikat memaklumkan mereka tidak sabar untuk menghantar pelancong kembali ke negeri ini.

“Walaupun di negeri lain seperti Pahang juga mempunyai mercu tanda seperti Menara Teruntum, namun impak jambatan angkat tersebut amat tinggi, boleh dibandingkan seperti London Bridge dan reputasinya kini seakan sama seperti Menara Berkembar PETRONAS,” tambahnya.