SETIU, 23 Februari – Penduduk di dua buah kampung di kawasan Parlimen Setiu menyambut kehadiran bulan Ramadan tahun ini dengan prasarana ibadah yang lebih kondusif susulan siapnya dua masjid baharu, iaitu Masjid At-Taqwa Kampung Apal dan Masjid Kuala Kubang, yang kini beroperasi sepenuhnya.
Pembinaan kedua-dua rumah ibadat tersebut merupakan inisiatif bagi menggantikan bangunan yang sudah tidak mampu menampung jemaah yang ramai, terutama untuk solat raya dan solat jumaat sekali gus dapat memberi keselesaan kepada komuniti setempat untuk menunaikan ibadah serta menyemarakkan aktiviti keagamaan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, siapnya projek infrastruktur itu disifatkan sebagai 'hadiah' amat bermakna kepada penduduk.
"Masjid At-Taqwa Kampung Apal yang dibina dengan kos RM2.417 juta telah siap sepenuhnya pada 9 Disember 2025, manakala Masjid Kuala Kubang yang bernilai RM3 juta mula dibuka kepada orang ramai sejak 16 Januari lalu.
"Kedua-dua masjid ini mampu menampung kapasiti sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa.
"Masjid At Taqwa Kg Apal yang terletak di tepi jalan utama Kota Bharu-Kuala Terengganu telah dibina dengan konsep yang mesra musafir yang dilengkapi kemudahan moden seperti bilik serba guna, tandas mesra Orang Kurang Upaya (OKU), bilik persalinan bayi serta pusat pengurusan jenazah yang lengkap," tambahnya lagi dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, projek ini adalah hasil usaha permohonan yang diluluskan ketika era pentadbiran terdahulu iaitu kerajaan Perikatan Nasional bagi memastikan kelangsungan pembangunan syiar Islam di kawasan luar bandar.
Selain dua masjid berkenaan, beberapa projek berimpak tinggi lain turut diluluskan termasuk pembinaan Masjid Pengkalan Merbau bernilai RM3 juta, Dewan Tertutup Kampung Kerandang dengan kos melebihi RM400,000 serta projek Jalan Pertanian di Chalok Barat dan Chalok Rahmat.