KUALA TERENGGANU, 19 Julai – Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Mufti Negeri Terengganu menerusi kunjungan hormat yang diadakan di Pejabat Mufti Negeri Terengganu, hari ini.
Katanya, kunjungan ini bagi mempererat hubungan antara kedua-dua institusi dan memperkasa pembangunan dakwah, pendidikan fatwa serta penghayatan nilai hidup bersyariat di negeri ini.
Pengarah Akademi DUAT, Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah berkata, kunjungan itu turut menjadi platform memperluaskan jaringan kerjasama dalam perkara berkaitan hal ehwal hukum syarak, pengukuhan syiar Islam dan pembangunan ummah.
"Pertemuan ini turut membuka ruang pertukaran pandangan berkaitan isu-isu keagamaan semasa, pelaksanaan program dakwah.
"Serta peluang kerjasama kepakaran yang dapat memberikan manfaat kepada warga duat dan masyarakat secara keseluruhannya," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Sahibus Samahah Dato' Mufti Negeri Terengganu, YBM Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar di Pejabat Mufti Negeri Terengganu, hari ini.
Tambah beliau, hubungan baik antara kedua-dua institusi diharapkan terus diperkasakan menerusi pelbagai program dan inisiatif bersama demi memperkukuh syiar Islam serta melahirkan daie yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.