• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

DUN Telemung, Hadiah Istimewa Buat Pejuang PAS, Bersatu

HULU TERENGGANU, 13 Ogos - "Saya hadiahkan kemenangan ini kepada parti PAS dan juga  Bersatu, yang telah berusaha sekian lama untuk menumbangkan Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung," ujar Zawawi Ismail, 

Katanya, pertandingan  yang agak sengit dan dia tidak menyangka DUN Telemung akan dimenangi PAS pada peringkat awal.

Beliau yang pada mulanya seperti tidak percaya juga pada peringkat awalnya, walaubagaimanapun, akur apabila aura kemenangan mula dapat dilihat dengan kehadiran ramai pengundi-pengundi  luar yang mana mereka merupakan penyumbang utama yang memberi undi kepada parti PAS.

"Kita sedia maklum kawasan N21 ni kawasan yang umpama pasukan ataupun yang pemainnya 'heavyweight' macam  nak lawan Mike Tyson la... bukan senang nak dapat tumbang.

"Jadi kita nampak kesungguhan daripada penyokong-penyokong PAS serta ahli-ahlinya dan juga orang-orang yang mahu melihat satu perubahan bagi DUN Telemung itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangannya di Dewan Sivik Kuala Telemong, semalam.

Tambahnya, yang menyifatkan kemenangan itu satu anugerah daripada  Allah SWT, meletakkan dirinya sebagai jambatan untuk mencapai cita-cita menawan DUN Telemung yang tidak pernah kalah sejak 60 tahun.

"Bayangkan, tidak pernah menang, ini hari yang sangat bersejarah bagi mereka yang telah berkorban macam -macam sejak sekian lama sebab itu kemenangan ini sekali lagi saya hadiahkan untuk perjuangan mereka," ujar beliau lagi.

Zawawi  memperoleh 8,380 undi menewaskan Datuk Rozi Mamat, yang juga Setiausaha UMNO negeri yang memperoleh 8,085 undi.

Dalam masa sama, PAS berjaya menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu, hasil pilihan rakyat.

Sejarah turut tercipta menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mendapat tempat dalam DUN Terengganu