• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

DUN Wakaf Mempelam Paling Teruk Terjejas - Wan Sukairi


Oleh: Khairul Azlam

KUALA TERENGGANU - Bencana ribut yang melanda beberapa buah daerah di Terengganu ini pada 3 September lalu, menyaksikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam paling teruk terjejas di Kuala Terengganu.

Pada hari ketiga selepas kejadian ribut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah memberitahu, sejumlah 648 buah rumah rosak akibat bencana ribut itu.

Menurutnya, DUN Wakaf Mempelam adalah paling teruk terjejas sebanyak 648 buah rumah daripada lebih 2,600 buah rumah seluruh daerah.


Namun, katanya arahan segera telah dikeluarkan kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi mengenal pasti serta memperbaiki kerosakan itu.

“Masuk hari ketiga ini selepas bencana ribut, saya dapati sebanyak 648 buah rumah kes yang rosak disebabkan bencana ribut yang berlaku pada 3 September lalu.

“Kita telah mengambil langkah segera dengan mengarahkan semua MPKK di setiap kampung yang terlibat dengan bencana itu, untuk kenal pasti kerosakan yang berlaku agar tidak ada yang tercicir.

“Mana-mana tenaga tukang yang ada lebihan diminta membantu membaikpulih rumah-rumah yang rosak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lokasi lawatannya di Kampung Paloh Hilir, yang terletak dalam DUN Wakaf Mempelan, Kuala Terengganu, kelmarin (6 September).


Difahamkan terdapat 35 buah kampung terletak dalam DUN Wakaf Memepelam dan 32 buah daripadanya terjejas teruk dengan kerosakkan.

Ustaz Wan Sukairi  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri menjelaskan, daripada 32 buah kampung itu tiga buah kampung paling banyak kerosakkan.

“Daripada 35 MPKK yang terdapat dalam Dun Wakaf Mempelam hanya tiga kampung yang tidak terlibat secara serius iaitu di Kampung Tok Jamal, Kampung Wakaf Mempelam dan Kampug Gelugor Raja.

“Adapun di 32 buah kampung lagi mengalami kerosakkan teruk seperti paling teruk pertama, di Kampung Bukit Kubang Jambu melibatkan 74 buah rumah, kedua di Kampung Durian Burung sebanyak 61 buah rumah dan ketiga di Kampung Paloh melibatkan 50 buah rumah,” ujarnya.

Tinjauan mendapati, kerja-kerja membaikpulih sedang giat dijalankan setiap hari bermula hari pertama selepas tragedi ribut itu berlaku lagi.

“Alhamdulillah, sebahagian rumah yang kita baiki telah siap, ada yang sedang dibaikpulih dan ada yang belum sempat baiki kerana kehabisan barang material di kedai-kedai tertentu.

“Namun, kita masih lagi kekurangan tukang sebab semua tempat perlukan kepada tukang rumah. Kita akan cuba selesai seberapa segera, Insya’Allah.

“Setakat ini tidak ada laporan berlaku kemalangan jiwa akibat bencana ribut itu tetapi ada beberapa kes kemalangan kecil di tempat kerja ketika proses baik pulih rumah,” jelasnya.

Semalam, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM2.5 juta kepada Tabung Darul Iman (TDI) bagi tujuan pemulihan akibat bencana tersebut.

Menurut Ustaz Wan Sukairi, peruntukan itu akan diagihkan kepada semua daerah-daerah yang terjejas akibat bencana ribut yang berlaku dalam tempoh sebulan lalu.

Turut mengiringi lawatan Exco Kerajaan Negeri itu, Penyelia Institusi Modal Insan Terengganu Maju Sejahtera  (I-Mits), Radzali Abd Ghani.

Tag: