• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Dungun Terima Peruntukan Segera RM1.9 Juta Baiki Sistem Perparitan



Wan Junaidi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di SK Durian Mentangau, Dungun, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar meluluskan peruntukan segera sebanyak  RM1.9 juta bagi menaik taraf sistem perparitan di sekitar daerah Dungun. 

Menterinya, Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di tiga kawasan yang biasa dinaiki air iaitu Kampung Durian Mentangau, Kampung Tanjung Hutan dan Kampung Binjai.

“Berdasarkan jumlah itu, Kampung Durian Mentangau menerima peruntukan sebanyak RM200,000,  Tanjung Hutan (RM1.2 juta) manakala Kampung Binjai sebanyak RM500,000.

“Tiga kawasan ini sudah diluluskan peruntukannya untuk dinaiktaraf sistem perparitannya dan ianya akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Dato Ir Zulkefli Hassan, Pegawai Daerah Dungun, Dato’ Mohd Yasim Awang dan Pegawai Pembangunan Dungun, Dato’ Din Adam.

Banjir di Dungun telah menjejaskan 29 kampung dengan melibatkan 1,098 mangsa manakala Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau mencatatkan pusat pemindahan paling lama dibuka sejak banjir berlaku iaitu selama lapan hari.

Tag: