• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Duyong Marina Berjaya Jimat RM86 Ribu

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Duyong Marina & Resort (DMR) berjaya menjimatkan RM86 ribu setahun dengan penubuhan Jabatan Landskap bagi melaksanakan kerja-kerja mengindahkan resort secara lebih efisien dan efektif.

Pengurus Besar DMR, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, penubuhan jabatan tersebut diusulkan selepas pihak resort kurang berpuas hati dengan penyelanggaran syarikat yang menguruskan landskap resort secara kontrak sebelum ini.

"Dengan tertubuhnya Jabatan Landskap,  penyeliaan jadi lebih baik dan banyak kerja landskap yang dapat dibuat kerana DMR mengambil pakar landskap yang mempunyai pengalaman 15 tahun dalam bidang berkaitan di Suterasemai Sdn Bhd. 

"Bajet tersebut yang berjumlah RM22 ribu sebulan atau bersamaan RM 264 ribu setahun sebelum ini dapat dipindahkan kepada perbelanjaan Jabatan Landskap dan gaji pekerja menjadikan kos operasi keseluruhan jabatan masih dapat dijimatkan," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Jelasnya, penubuhan jabatan berkenaan juga menjadi salah satu jawapan kepada soalan Adun Kijal, Dato' Seri Ahmad Said tentang isu pengambilan kakitangan DMR dalam suasana Covid-19 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu lalu.

"Untuk makluman semua, kakitangan DMR sebelum saya masuk berjumlah 132 orang (Disember 2019). Ketika itu, banyak kekosongan yang tidak diisi dan pada Julai 2020, beberapa kakitangan berhenti kerja berikutan ada yang menerima tawaran di tempat lain yang kebanyakannya bertugas di Kitchen dan penyelenggaraan makanan (F&B). 

Oleh kerana ketika itu jualan di Bytes Cafe sedang meningkat, maka kami ambil keputusan untuk membuat pengambilan baharu segera," katanya.

Tambah Wan Faizul, jualan Bytes Cafe yang hanya mengutip jualan sekitar RM300 hingga RM800 sehari sebelum ini melonjak naik secara mendadak kepada RM1,000 hingga RM3,000 pada hari biasa setelah penjenamaan semula Jabatan Jualan dan Pemasaran.

"Kalau hujung minggu, boleh cecah sampai RM10,000. Jadi, kami tak menang tangan dan terpaksa ambil ramai pekerja sambilan. Buat masa sekarang,  kami juga mengambil ramai pelajar latihan industri untuk mengurangkan kos pekerja.

"Walau bagaimanapun, DMR sedang merangka langkah penjimatan dari masa ke masa, namun dalam masa sama tidak mahu strategi pemasaran produk-produk baharu terganggu," katanya.

 

 


Tag: