• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Elak Beli Alat Timbang Dan Sukat Secara Atas Talian

HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Para peniaga tidak digalakkan membeli alat timbang dan sukat melalui jualan secara atas talian kerana ia tidak di tentu sahkan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP).

Timbalan Menterinya , Dato' Rosol Wahid berkata pihaknya memandang serius perkara ini bagi mengelak pengguna tertipu. 

Katanya, penggunaan alat penimbang yang tidak di tentu sahkan juga merupakan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

"Ramai peniaga-peniaga yang menggunakan ataupun membeli alat timbang sukat ini  melalui platform atas talian kerana harganya murah tapi kita nak maklum walaupun murah tapi ia tak di tentu sahkan. 

"Itu satu kesalahan jadi kita berharap peniaga di luar sana yang ingin mendapatkan timbang sukat ni carilah daripada pengedar yang telah dilantik dan disahkan oleh KPDNHEP, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengagihkan Alat Timbang dan Sukat kepada 46 peniaga buah buahan di Pasar Buah Ajil dan di Kampung Gaung, hari ini.

Turut hadir pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Dalam program tersebut, sebanyak 30 Alat Timbang Sukat Digital dan 16 Alat Timbang Neraca Spring disumbangkan kepada peniaga. 

Rosol juga berkata, KPDNHEP turut merampas alat timbangan yang bernilai RM349,600 melibatkan 2,729 peniaga kerana melanggar Akta Timbang dan Sukat 1972. 

"Jumlah rampasan yang melibatkan nilai kompaun sebanyak RM378,500 itu dibuat hasil pemeriksaan di 337,546 buah premis seluruh negara bermula Januari sehingga kini," ujarnya