• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Empangan Kenyir Masih Selamat, Baikpulih Berterusan Sehingga Kini

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober – Orang ramai khususnya penduduk Terengganu tidak perlu panik dengan kenyataan Empangan Kenyir antara lapan empangan berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi serta strukturnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh berbagai pihak sedang dilakukan.

Jelasnya, bencana yang berlaku akhir bulan Februari dan pada awal bulan Mac 2022  telah mengakibatkan kerosakan infrastruktur awam di seluruh Negeri Terenganu terutamanya di Daerah Hulu Terengganu termasuklah Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir.

“Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah memohon peruntukan melibatkan permohonan pembaikian kerosakan jalan, cerun dan jambatan di seluruh negeri Terengganu di bawah skop Jabatan Kerja Raya (JKR)  berjumlah RM135.642 juta dan pembaikian kerosakan infrastruktur pengairan dan saliran  di bawah skop JPS  berjumlah RM62.705 juta.

“Lawatan Tapak dan Mesyuarat Status Kerja Baikpulih Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM), Kenyir oleh Tan Seri Ketua Setiausaha Negara telah diadakan pada 29 Ogos 2023.

“Status terkini adalah peruntukan yang dimohon telah diluluskan. Sebahagian kerja-kerja pembaikian telah disiapkan dan akan diteruskan pembaikian …setakat ini, TNB mengesahkan ia masih selamat,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambah Hanafiah, sebelum ini berlaku kerosakan pada Stesen Kenyir  disebabkan kejadian tanah runtuh pada Februari 2022 sehingga operasi stesen terhenti selama 6 bulan.

“Operasi penjanaan dan penghantaran telah dapat di pulihkan pada akhir Jun 2022 iaitu tiga bulan awal dari perancangan awal bagi menstabilkan sistem grid nasional dan bekalan untuk negeri Terengganu,” ujarnya.

Terdahulu, sejumlah lapan daripada 41 empangan seluruh negara dikenal pasti berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan fungsi dan strukturnya.

SItuasi itu disahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) hasil laporan status pemeriksaan keselamatan empangan-empangan itu oleh Pasukan Flying Squad yang dijalankan antara tahun 2021 dan 2022.

Lapan empangan itu ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah; Empangan Jor dan Mahang di Perak; Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang; Empangan Babagon di Sabah; Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.