Jalur Gemilang
Berita :
Empat Lokasi Snorkeling Pulau Redang Dicadang Tutup Dua Tahun
Empat Lokasi Snorkeling Pulau Redang Dicadang Tutup Dua Tahun
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
47

KUALA NERUS, 8 September - Empat lokasi snorkeling di sekitar Pulau Redang dicadang ditutup selama dua tahun bagi membolehkan terumbu karang yang mengalami kerosakan serius dipulihkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, lokasi berkenaan ialah Pasir Akar, Pulau Lima, Pulau Ekor Tebu dan Pulau Paku Besar.

Katanya, cadangan tersebut disokong pengusaha Pulau Redang bersama Reef Check Malaysia selepas mendapati keadaan terumbu karang di beberapa lokasi terbabit mengalami kerosakan sehingga melebihi 80 peratus.

"Jadi kita ambil ini satu inisiatif untuk kita menutup beberapa tempat snorkeling yang mana tempat tersebut memang batu karang dah rosak habis, 80 peratus ke atas, hanya tinggal 10, 20 peratus lagi baki dan kita akan baik pulih.

"Ini dicadang oleh pengusaha Pulau Redang sendiri," katanya ketika ditemui selepas menjalankan aktiviti menyelam bagi meninjau keadaan terumbu karang di sekitar Pulau Redang, hari ini.

Razali berkata, beliau sendiri melihat keadaan terumbu karang di Pasir Akar dan Pulau Paku Besar yang disifatkan mengalami kerosakan luar biasa.

"Yang pertama tadi kita pergi kepada Pasir Akar kita tengok macam mana keadaan batu karang yang rosak, agak luar biasa. 

"Jadi buat kali pertama kita tengok memang sepanjang tempat yang dahulunya dihiasi kilauan warna terumbu karang, tapi hari ini kita lihat memang terumbu karang sangat teruk kerosakan dia.

"Kita menyelam satu tempat lagi namanya Pulau Paku Besar pun sama, luar biasa kerosakannya," tambahnya.

Mengulas lebih lanjut, katanya, walaupun kerosakan tersebut juga disebabkan faktor alam semula jadi seperti perubahan iklim, namun gangguan daripada aktiviti manusia yang bertambah di kawasan terumbu karang menyebabkan kerosakan terumbu meningkat.

"Ada kerosakan yang terjadi kerana alam semula jadi kerana perubahan iklim dan yang paling parahnya kerana kerakusan manusia.

"Maksudnya kita sendiri yang merosakkan karang tersebut dan saya melihat beberapa tempat yang mana 'anchor' atau sauh diletak, dilabuhkan di atas batu karang sehingga batu karang tersebut mati," katanya.

Razali menegaskan, cadangan itu akan dibawa ke peringkat atasan untuk dibincangkan bersama Taman Laut, Jabatan Laut dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum sebarang keputusan akhir dibuat.

"Insya-Allah saya sendiri akan bawa ke peringkat atasan untuk kita bincang dengan Taman Laut, Jabatan Laut dan juga MOTAC," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha bot dan pelancong supaya tidak menyentuh atau memijak terumbu karang kerana ia merupakan hidupan yang amat sensitif.

"Dia (karang) tak boleh disentuh, tak boleh dipijak apatah lagi nak ambil bawa balik dekat rumah," katanya ketika mengulas mengenai kepentingan pelancong menjaga terumbu karang daripada disentuh atau dipijak ketika aktiviti snorkeling.

Beliau berkata, Jabatan Laut juga akan diarahkan meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar arahan atau garis panduan berkaitan pemeliharaan terumbu karang.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk mempercepatkan pemasangan boya dan tali boya (buoy line) di lokasi tertentu bagi mengelakkan bot pelancong melabuhkan sauh di kawasan terumbu karang.

"Kita akan segerakan untuk buat boya. Kita akan letak seberapa banyak mungkin boya supaya semua bot pelancong tahu di mana tempat-tempat yang dia patut sauh.

"Dia tak perlu masuk letakkan sauh di tempat-tempat batu karang," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama pengusaha bot di Dewan Sivik Merang, semalam.

Menurut Razali, lokasi pemasangan boya akan dikenal pasti bersama pengusaha pulau, manakala reka bentuk dan warna boya berkenaan turut boleh dijadikan sebahagian daripada elemen tarikan pelancongan.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan