• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Empat Pesakit Kronik, Warga Emas Terima Bantuan Tabung Darul Iman


MARANG, 23 Oktober –  Nasib empat penduduk yang kurang bernasib baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, di sini, terbela apabila menerima bantuan menerusi Tabung Darul Iman (TDI).

Bantuan berbentuk barangan seperti lampin pakai buang itu disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman di rumah semua penerima berkenaan sekitar DUN itu.

Penerima berkenaan, dua kanak-kanak yang juga pesakit kronik, Nor Emilia Natasha Mohd Fadli,13, dan Muhammad Airil Haimi Ismail, 12,  serta seorang remaja orang kelainan upaya (OKU), Nurul Izzati Mohd Sofi, 18, dan warga emas, Zaimas Abdullah, 72, yang menghidapi strok.

Ariffin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri  berkata, penerima sumbangan yang menerima bantuan itu adalah di kalangan warga emas, OKU dan pesakit kronik yang tidak mampu menguruskan diri sendiri.

"Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri kerana menyediakan kemudahan seperti TDI yang mampu membela nasib mereka yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian pihak berwajib.

"Adalah diharapkan sumbangan ini dapat menceriakan penerima dan dapat diteruskan dari semasa ke semasa,"katanya sejurus menyampaikan semua sumbangan tersebut.


Sementara itu, anak Zaimas, Siti Khairani pula berterima kasih kepada TDI yang menerima serta meluluskan permohonan ibunya untuk mendapatkan bantuan itu.

"Dengan adanya sumbangan ini dapat meringankan bebanan kami untuk menguruskan emak yang tidak berupaya kerana menghidapi strok.

“Terima kasih juga diucapkan kepada YB Ustaz Ariffin kerana sudi menyampaikan sumbangan serta menziarah ibu saya yang sedang sakit ini,"katanya.

Tag: