Jalur Gemilang
Berita :
Empat Usul Perkasa Belia Dipersetujui MPBN Terengganu
Empat Usul Perkasa Belia Dipersetujui MPBN Terengganu
Muhamad Fazlee Aziz
1 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Sebanyak empat usul berkaitan pembangunan dan pemerkasaan belia dipersetujui dalam Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Terengganu Sidang II, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026, di Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini, semalam.

Usul berkenaan merangkumi pemerkasaan belia orang kurang upaya (OKU), cadangan penubuhan Ruang Khas Belia Terengganu The Commers Youth ( TCY), pelaksanaan Kad Belia Malaysia (KBM) serta penambahbaikan Program Sejati MADANI Belia.

Persidangan itu dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamudin Abdul Karim dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdul Kahar Abdul Latif.

Persidangan menghimpunkan 110 peserta terdiri daripada kepimpinan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), wakil belia daerah serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Usul pertama memberi penekanan terhadap pemerkasaan belia OKU melalui pelaksanaan program yang lebih inklusif, kerjasama strategik antara agensi serta penyediaan peruntukan bersasar bagi menyokong pembangunan kemahiran, keusahawanan, sukan dan kepimpinan.

Usul kedua pula mencadangkan penyediaan TCY sebagai ruang khas yang kondusif dan mesra belia untuk aktiviti pembangunan kepimpinan, keusahawanan, kesukarelawanan, kreativiti serta interaksi sosial.

Antara lokasi yang dicadangkan ialah Bangunan Kraf Ladang, Bukit Panorama, Bukit Puteri dan THRDC, dengan kemudahan seperti ruang perbincangan, bilik mesyuarat, ruang perniagaan, ruang aktiviti dan akses Wi-Fi.

Sementara itu, usul ketiga mencadangkan pelaksanaan KBM yang diintegrasikan dengan Dashboard Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menghimpunkan pelbagai manfaat, insentif, kemudahan dan peluang pembangunan belia dalam satu platform.

Cadangan itu turut merangkumi pendaftaran automatik bagi rakyat Malaysia berumur 15 hingga 30 tahun, selain penggunaan kod QR dan sistem cip pelbagai fungsi bagi memudahkan akses kepada maklumat serta kemudahan yang disediakan.

Usul keempat memberi tumpuan kepada penambahbaikan Program Sejati MADANI Belia melalui proses permohonan dan kelulusan yang lebih pantas, telus serta mesra belia, di samping peningkatan peruntukan bagi membolehkan lebih banyak projek berimpak dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Cadangan penambahbaikan itu turut merangkumi penetapan kriteria penilaian yang lebih jelas, penyediaan maklum balas terhadap permohonan yang tidak diluluskan serta pewujudan mekanisme rayuan atau semakan semula.

Persetujuan terhadap keempat-empat usul berkenaan mencerminkan usaha memperkukuh agenda pembangunan belia di Terengganu melalui pendekatan yang lebih inklusif, penyediaan kemudahan bersesuaian serta peluasan peluang penglibatan golongan muda dalam pembangunan komuniti dan negeri.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan