• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

EPIC, ECF Jalin Kerjasama Bina Kilang Baja di Kemaman

KEMAMAN, 23 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan East Coast Fertilizer Sdn Bhd (ECF) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi membina sebuah kilang baja di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata projek ini menjadi titik permulaan bagi mengembangkan pasaran kepada pemain industri di Pantai Timur seterusnya ke seluruh negara. 

"Tapak seluas sekitar 6.7 ekar milik EPIC ini adalah lokasi paling strategik untuk memulakan langkah dan membuka pintu kepada ECF untuk menerokai pasaran di Pantai Timur seterusnya berkembang ke negara jiran dan pasaran serantau. 

"Dengan MOU ini, ECF akan memberi fokus kepada pembinaan kilang di tapak ini yang dijangkakan bermula pada 2024 dan akan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman antara EPIC dan ECF di sini baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran kilang Bitumen Kemaman itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional, Hanafiah Mat serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC dan ECF.

Tambah Ridzuan Ali, pihaknya akan memberi sepenuh sokongan dari segi pengendalian kargo yang ada di Pelabuhan Kemaman dan perkhidmatan logistik mengikut keperluan ECF.