KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Kesatuan Eropah (EU) melihat Terengganu sebagai rakan strategik yang berpotensi dalam memperkukuh kerjasama dua hala melibatkan sektor ekonomi, teknologi hijau, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pendidikan serta pembangunan modal insan.
Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, lawatan ke Terengganu merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan hubungan antara EU dan Malaysia di peringkat kerajaan negeri.

"Kami berada di sini untuk memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Eropah. Selain bekerjasama di peringkat Persekutuan, kami juga mahu membina hubungan yang lebih erat dengan kerajaan negeri kerana itulah pendekatan yang diamalkan di Eropah.
"Tujuan lawatan ini adalah untuk memahami kedudukan Terengganu, hala tuju pembangunannya dan mengenal pasti bidang yang boleh diperkukuhkan melalui kerjasama bersama," katanya pada sidang media selepas Majlis Kunjungan Hormat tersebut di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa lebih 2,000 syarikat Eropah kini beroperasi di Malaysia, termasuk beberapa daripadanya di Terengganu, dengan pendekatan mengutamakan pembangunan bakat tempatan.
“Falsafah pelaburan EU bukan sekadar membawa modal atau teknologi semata-mata, sebaliknya membina perkongsian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak melalui pemindahan ilmu, pembangunan modal insan dan integrasi dalam ekonomi setempat,” ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan AI, beliau berkata EU menggalakkan penggunaan teknologi itu secara bertanggungjawab dengan meletakkan manusia sebagai fokus utama, bukannya menggantikan tenaga kerja.
"AI perlu membantu manusia bekerja dengan lebih cekap dan pantas, sambil memastikan perlindungan data peribadi, hak individu serta pembangunan kemahiran baharu terus diberi keutamaan," katanya.

Menurutnya, model TVET yang menggabungkan latihan industri dengan pembelajaran formal mampu melahirkan tenaga kerja mahir serta membina hubungan jangka panjang antara industri dan institusi pendidikan.
Beliau turut memaklumkan bahawa hubungan pendidikan antara Malaysia dan EU terus diperkukuh menerusi program-prohram membuka peluang kepada pelajar, pensyarah serta penyelidik menjalankan mobiliti akademik dan penyelidikan bersama.
Katanya, ketika ini sekurang-kurangnya dua projek penyelidikan melibatkan universiti berpangkalan di Terengganu sedang dijalankan bersama institusi di Eropah, khususnya dalam bidang akuakultur dan biodiversiti.
“Diharapkan lawatan ini menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih kukuh antara EU dan Terengganu dalam pelbagai sektor strategik demi manfaat bersama,” ujarnya.
Tag :