• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445
Seorang pelajar yang menghidap penyakit Celebral Palsy, Ahmad Faiz Ibrahim, 19, menerima komputer riba sumbangan kerajaan negeri, bagi memudahkan sesi pembelajarannya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, Faiz bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran sehingga muncul antara 19 pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016, malah beliau juga mampu menghafal 30 juzuk al Quran.
Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan itu ialah Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif serta kedua ibu bapa Ahmad Faiz iaitu Ibrahim Yusof dan Zalina Mohd Kassim.
“Ini adalah satu keajaipan. Saya yakin dan percaya bukannya mudah bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti Faiz ini untuk dilabelkan sebagai seorang yang genius, dengan keadaan dia yang sebegitu, bukan calang-calang orang boleh berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran dan diterima masuk ke Universiti.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Faiz dan keluarga kerana menerima jemputan ke program hari ini. Saya doakan agar kejayaan dan kesungguhan Faiz ini akan menjadi sumber motivasi kepada orang lain khususnya pelajar di luar sana," katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas majlis penyampaian hadiah sempena Minggu Sukan Seberang Takir - Cikgu Razif bersama Komuniti di Dataran Permata Seberang Takir di sini, semalam.
Sebelum ini, melihat keupayaan fizikal Faiz yang amat terbatas, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui UniSZA telah memberi kebenaran khas untuk dia mengikuti pengajian di rumah tanpa perlu hadir ke bilik kuliah seperti melalui sistem pengajian secara atas talian.

Tag: