KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Terengganu merupakan antara negeri yang paling konsisten dan berani melabur dalam pembangunan sukan hoki di Malaysia, namun isu kekurangan pemain pelapis berkualiti tinggi yang ketara perlu diberi perhatian serius.
Pemain hoki negara, Faizal Saari, memuji Terengganu yang memperuntukkan bajet besar serta memiliki pasukan sendiri, berbeza dengan kebanyakkan pasukan lain di negara ini yang ditaja atau digerakkan oleh syarikat korporat.

"Bagi saya Terengganu sahaja antara negeri melabur dan ada pasukan sendiri, negeri lain tidak ada. Macam pasukan lain dia ada syarikat, macam TNB (Tenaga Nasional Berhad), selepas itu Maybank," katanya.
Menurut Faizal, hoki merupakan antara empat sukan utama Terengganu selain bola sepak, ragbi dan basikal, sekali gus mengukuhkan reputasi negeri itu sebagai penyumbang dalam bidang sukan tersebut di peringkat nasional.
"Terengganu ini bukan sukan hoki sahaja, empat sukan utama seperti bola sepak, hoki, ragbi dengan basikal. Selepas itu kita ada, kalau sukan di Terengganu, orang cakap kita ada satu gergasi (pasukan untuk setiap empat sukan utama tadi)," ujarnya.
Namun, beliau mengakui kebimbangan terhadap pembangunan pelapis yang dilihat belum melahirkan pemain berprofil seperti generasi terdahulu yang pernah mengharumkan nama negeri serta negara.
"Pembangunan saya tak risau sangat, cuma pelapis. Seperti yang saya cakap, macam penjaga gol S. Kumar, seperti pemain tengah Fitri Saari, yang orang cakap ada nama. Saya rasa tak ada (dalam kalangan pelapis)," jelasnya.
Faizal berkata demikian melalui perkongsiannya dalam audio siar Dengor Molek, episod empat, di platform YouTube sambil mengimbau kembali era sekitar 2013 dan 2014 dimana pasukan Malaysia dibarisi pemain yang memiliki reputasi dan pencapaian tersendiri sehingga digeruni lawan.
"Contoh, kita berbalik kepada tahun 2013-2014, satu pasukan kita 11 orang, setiap 11 orang itu ada nama (pencapaian tinggi).
"Bila lawan Malaysia, Chua (Chua Boon Huat) ada, Tengku (Tengku Ahmad tajuddin Abdul Jalil) ada, Faizal Saari ada. Jadi pihak lawan dah takut," ujarnya.
Oleh yang demikian, beliau menegaskan meskipun ramai pemain muda kini aktif dalam sukan hoki, masih belum ada yang benar-benar menyerlah sebagai pemain istimewa.
"Ramai yang main hoki tapi nak keluar yang 'special-special', contoh macam saya boleh skor, Tengku Tajuddin boleh score, S. Kumar memang penjaga gol yang hebat.
"Saya tengok pelapis, tak ada. Saya bukan nak kritik, kita ada ramai yang bermain hoki, cuma saya tak nampak lagi yang mereka menonjol," jelasnya.
Faizal bagaimanapun percaya pemain muda memerlukan masa dan pendedahan yang mencukupi untuk berkembang sepenuhnya.
"Tak tahu, mungkin mereka memerlukan masa dua tahun atau empat tahun (untuk menyerlahkan bakat)," katanya kepada hos Dengor Molek.
Beliau berharap pelaburan besar dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam sukan hoki dapat disokong dengan perancangan pembangunan bakat yang lebih menyeluruh bagi memastikan Terengganu terus kekal sebagai kuasa besar hoki negara.