• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Festival Seni Dan Budaya Warisan Negeri 14 -15 April Ini

Tun Ahmad Faisal (kanan) menunjukkan poster aktiviti Festival Seni dan Budaya Warisan Negeri Terengganu di Pejabat Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort, hari ini. Foto Oleh: Zulkifli CW Putra

Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil inisiatif menyemarakkan Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017 dengan penganjuran Festival Seni dan Budaya Warisan Negeri selama dua hari bermula 14 April ini bertempat di Desa Ukiran Kayu Kampung Raja, Besut.

Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata, penganjuran festival tersebut merupakan penjenamaan semula Pekan Budaya yang diadakan di daerah-daerah sebelum ini dengan menonjolkan keunikan serta kekuatan daerah terbabit.

“Besut merupakan lokasi pertama diadakan festival ini yang akan mengenengahkan komponen-komponen kesenian dan kebudayaan yang sinonim dengan daerah itu.

“Selain kaya dengan produk pelancongan seperti seni ukiran kayu, Besut yang terkenal dengan seni kebudayaan seperti Main Puteri, Mak Yong, Wayang Kulit, Dikir Barat, Tarian Abang, permainan tradisional gasing terbang dan gasing uri serta pelbagai lagi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Festival Seni dan Budaya Warisan Negeri Terengganu 2017 di Pejabat Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah.

Katanya, bermotifkan usaha melestari dan memulihara khazanah kebudayaan dan kesenian serta warisan negeri, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sempena festival ini yang diselaraskan oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

“Antaranya, pameran dan demostrasi ukiran kayu dan keris, jualan kuih tradisional, pertandingan gubahan sireh junjung, masakan terbuka berasaskan itik dan persembahan marhaban.

“Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan silat, tarian balada anak seni, serta anugerah tokoh budayawan,” ujarnya.

Sementara itu, Tun Faisal memberi­tahu pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung ke Festival Seni dan Budaya Warisan Negeri Terengganu.

Tag: