• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Fiesta Kemamang Kite 2017 Capai Sasaran

Sebahagian orang ramai yang hadir pada Fiesta Kemamang Kite 2017 di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. Foto Tengku Syamim Tengku Ismail
Penganjuran Fiesta Kemamang Kite 2017 berjaya mencapai sasaran menarik keyakinan generasi muda terutama di daerah berkenaan supaya dapat bersama-sama menyokong setiap aspirasi kerajaan.

Program julung kali diadakan di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu berkenaan dirintis kumpulan WhatsApp yang menggelarkan diri mereka sebagai `Kemaman Kite' itu mampu menjadi platform terbaik bagi mendekati golongan belia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah.

Pendekatan itu dapat dilihat menerusi penyertaan dalam perlumbaan `drift’ kereta dan motosikal yang merupakan pengisian utama bagi program selama dua hari berakhir, malam tadi.

Penganjur program, Mat Dalam Awang berkata, pemilihan acara khas untuk anak muda itu dilihat tepat dengan kecenderungan rata-rata belia tempatan terhadap sukan lasak itu, di samping menyuntik inspirasi kepada golongan sasar itu supaya memanfaatkan bakat mereka di jalan yang betul.


Katanya, selain perlumbaan itu pihak penganjur turut menyediakan persembahan kebudayaan oleh kumpulan Suktra Terengganu dan artis tanah air termasuk Mat Over, Mat Dan dan Aimantino.

"Walaupun mengalami kesulitan apabila lokasi program kita yang asalnya dirancang di Padang Astaka, Kemaman terpaksa ditukar pada saat akhir tetapi sambutannya tetap di luar jangkaan dan mencapai sasaran ditetapkan.

"Terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman kerana membenarkan kita menjalankan program ini sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara anak muda serta komuniti Kemaman dengan penduduk di Kuala Nerus," katanya.

Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Kuala Nerus, Dato’ Basir Ismail. Hadir sama, Penaung Kumpulan WhatsApp Kemaman Kite, Datuk Md. Rahim Husin.



Tag: