• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Gabungan Dua Parti Melayu Yang Ditunggu-tunggu


KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Penyatuan UMNO-PAS secara rasmi adalah gabungan dua parti yang ditunggu-tunggu demi kelangsungan ummah dalam realiti suasana politik semasa pada hari ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Mohd. Nor Hamzah berkata, beliau mengalu-alukan penyatuan itu dan seterusnya melupakan perbalahan dalam politik sehingga ia menimbulkan cemburu di kalangan musuh Islam.

"Usaha UMNO-PAS untuk berpegangan tangan bagi menyebar kedamaian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat itu tentunya telah menyebabkan musuh Islam cemburu.

"Musuh Islam cuba untuk memastikan usaha itu gagal dengan melemparkan pelbagai tohmahan kononnya kami bergabung dengan perompaklah atau penipu.

"Dia (musuh Islam) boleh melabel berbagai-bagai tuduhan kerana tujuannya hanya untuk memecahkan kita (UMNO-PAS).

"Kerana dia sedar bahawa kerjasama dan penyatuan ini boleh menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ada seterusnya menyekat penguasaan rakus yang sedang dilakukan oleh pihak DAP, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan menyampaikan Sijil Tauliah Penyembelih di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini, hari ini.

Terdahulu, UMNO dan PAS mengumumkan jalinan kerjasama secara rasmi demi penyatuan ummah.

Berikutan itu satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi memperincikan kerjasama tersebut.

Pengumuman kerjasama itu sekali gus dapat menepis dakwaan bahawa PAS tidak akan menyokong UMNO seperti diperkatakan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.






Tag: