• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

‘Gagal Patuhi Syarat, Kelonggaran Ditarik Balik’ - Menteri

KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Kerajaan akan menarik balik kelonggaran yang diberikan kepada pemain sektor perladangan dan komoditi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika syarat keselamatan gagal dipatuhi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun diberi kebenaran beroperasi 100 peratus semua pengusaha masih tertakluk kepada syarat yang ketat.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengambil dan merekodkan suhu badan pekerja setiap hari, penggunaan pensanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan sosial semasa bekerja.

“Kita juga minta mereka yang terlibat dalam sektor di bawah kementerian ini supaya mengamalkan sistem penggiliran kerja bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19.

“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kerajaan pasti akan mengambil tindakan termasuk menarik balik kelonggaran yang diberikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyampaikan sumbangan gulai daging dan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Banggol Peradong di sini semalam.

Menurut beliau, tujuan kerajaan memberi kelonggaran bersyarat itu adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi negara selepas mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kelonggaran juga diberi selepas menilai semua aspek, dan  jika langgar syarat kelonggaran itu maka akan ditarik balik. Kita masih lagi dalam tempoh PKP, berkait dengan Akta 342.

“Sepatutnya ada arahan atau kawalan pergerakan ini tetapi kita perluaskan lagi kelonggaran itu pada sektor-sektor yang lain. Jadi kena faham, kita masih dalam tempoh PKP. Cuma kita beri peluang ‘bernafas’ untuk ekonomi,” tegasnya.


Tag: