• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Gagasan Sasar Guru Pemimpin Masyarakat Di Setiap Daerah

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Negeri Terengganu mahu mewujudkan kumpulan guru pemimpin masyarakat yang boleh menguruskan jenazah di setiap daerah menjelang pertengahan tahun ini.

Pengerusi Gagasan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zubir Embong berkata, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai ahli Gagasan yang bertindak sebagai guru pemimpin masyarakat.

Katanya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya di setiap daerah mempunyai 15 ahli yang boleh menggerakkan satu kumpulan untuk menguruskan jenazah apabila berlaku kematian di kalangan masyarakat setempat.

"Sejak diperkenalkan tahun lalu setakat ini, Kuala Terengganu dan Setiu telah ada dan diharapkan selewat-lewatnya bulan Jun nanti setiap daerah mempunyai ahli yang secara sukarela akan menguruskan jenazah dari awal hingga akhir termasuk kerja-kerja memandikan jenazah, solat, kafan dan lain-lain sehingga selamat dikebumikan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail di Hotel Primula, hari ini.

Mohd Zubir yang juga merangkap Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri berkata, peranan sebagai pendidik bukan tertumpu di sekolah semata, malah khidmat mereka turut diperlukan dalam masyarakat.

"Bila sebut sahaja guru, golongan ini sangat dihormati. Sebab itulah peranan dan khidmat mereka amat penting termasuk dalam hal-hal menguruskan jenazah,"ujarnya.

Katanya, dengan adanya kumpulan guru pemimpin masyarakat di setiap daerah, ianya bukan sahaja dapat membantu melancarkan urusan pengebumian jenazah malah meluaskan peranan dan perjuangan setiap ahli dalam konteks yang lebih luas dan tidak hanya tertumpu pada memperkasa pendidikan.







Tag: