• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Ganding Bahu Tarik Pelancong Antara Negeri

ALOR SETAR, 21 Mac – Penggiat pelancongan daripada Terengganu serta Kedah dapat menarik nafas lega kerana dapat berganding bahu dalam membantu sektor masing-masing melalui program Bisnes dengan Bisnes (B2B).

Timbalan Pengerusi Cawangan Kedah/Perlis Persatuan Ejen-ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Rohanee Ismail berkata, 30 ejen telah berjaya dikumpul untuk hadir ke program tersebut bagi menjalinkan hubungan memantapkan kemasukan pelancongan domestik.

“Dengan adanya program ini, kita boleh bersua muka dengan penggiat hotel Terengganu, antara kerjasama yang boleh diadakan adalah pihak kami boleh menyediakan pengangkutan dan agen pelancongan daripada Kedah ke Terengganu.

“Sitausi ini adalah ‘win-win’, Insya-Allah kita akan rangkakan pelan dan pakej bagi merealisasikan tujuan tersebut, bermula dengan pertukaran maklumat pada hari ini,” katanya Ketika ditemubual pemberita di Hotel Grand Alora, petang kelmarin.

Kenyataan positif tersebut turut dikongsi Penolong Pengurus, Pengurusan Acara Dan Promosi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Muhammad Fakhri khazali, katanya inisiatif tersebut menaikkan nama kawasan wilayah Ketengah dan memasarkan nama di Kedah.

“Sekarang ini produk kami belum dikenali di sini, Ketengah bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 dengan 30 acara.

“Matlamatnya agar sambutan dengan lebih 15 agensi ke meja kami dapat memperkenalkan Tasik Kenyir di negeri ini,” jelasnya.

Ketua Jualan Duyong Marina and Resort Terengganu, Farhana Adila Mohamad Yunus, juga menerima sambutan positif daripada lebih 10 agen pelancongan.

“Platform program ini lebih membantu kerana kita dapat menjalankan perbincangan dengan ‘face to face’ bagi rundingan lebih produktif bagi pelbagai pihak terlibat,” ujarnya.

Siri pertama daripada lapan keseluruhan itu amat menggalakkan kepada sektor ekonomi negeri kerana sambutan lebih 30 pemain pelancongan Kedah, ulas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu, Suaibah Harun.

“Hasilnya, impak tinggi terutamanya sokongan kuat daripada Tourism Terengganu menampakkan hasil tinggi dalam merancakkan kembali industri yang penting bagi negeri Terengganu,” katanya.