• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Gerakan Cabar Undang-Undang Syariah Bawa Ancaman Dalam Negara

KUALA NERUS, 28 Februari -Gerakan mencabar Undang-Undang Syariah boleh mendatangkan ancaman yang serius kepada akidah dan syariah umat Islam di negara ini.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, fahaman kumpulan aliran pemikiran yang menolak dan meragukan keabsahan undang-undang Islam itu perlu diberi perhatian dan ditangani dengan sewajarnya.

"Mereka ini berusaha untuk mencabar Undang-Undang Syariah dengan pelbagai cara, antaranya menganjurkan fahaman pluralisme agama yang menganggap semua adalah sama dan benar.

"Golongan ini juga cuba mengubah metodologi ijtihad dengan menolak atau mengabaikan sumber-sumber syariah seperti ijmak, qiyas, dan maqasid Syariah.

"Seterusnya mereka menentang hukum-hukum syariah yang berkaitan dengan moral, keluarga dan jenayah seperti aurat, poligami, hudud dan qisas  dengan alasan hukum-hukum ini melanggar hak asasi manusia, kesamarataan gender dan kebebasan agama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perasmian Majlis Pembukaan Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Terengganu, di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata dalam menghadapi cabaran yang melanda, umat Islam perlu mengukuhkan diri dengan mengamalkan Islam yang sebenar dan bersih dari sebarang penyelewengan berasaskan kefahaman yang tepat berpandukan al-Quran.

"Menyedari potensi kekuatan al-Quran dalam sanubari hati umat Islam (menyebabkan) musuh-musuh Islam sentiasa mencari jalan dengan mencari keraguan untuk melihat umat ini meninggalkan kitab suci itu dan terumbang ambing dalam jahiliah tanpa pedoman dan petunjuk.

"Kewujudan gerakan kristianisasi, Islam Liberal, ajaran-ajaran sesat, sekularisme dan pelbagai ideologi yang bercanggah dengan syariat Islam bakal memerangkap manusia-manusia yang tiada pedoman dan sumber pegangan," katanya.