• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Golongan Muda Perlu Semarak Semangat Kemerdekaan

YB Maliaman bersama belia Kampung Jak sempena program turun padang melalui aktiviti sukan yang diadakan setiap masa di Dun Ajil.


HULU TERENGGANU - Golongan muda perlu mempunyai cara pengisian baharu bagi menyambut kemerdekaan supaya dapat menyemarakkan lagi semangat patriotik.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, pada masa kini semangat patriotik di kalangan orang muda agak kurang dan tiada pengisian setiap kali meraikannya hari penting itu.

"Dia orang (orang muda) sambut hari kemerdekaan dengan berarak menaiki motosikal sambil kibarkan bendera pada malam 31 Ogos setiap tahun.

"Namun bagi mereka sudah cukup berarak tanpa memahami isi yang tersirat atau terjemahan sebenar erti kemerdekaan..kurang sikit semangat patriotik dalam diri.

"Jadi sudah tiba masanya, pengisian baharu dalam diri mereka melalui sambutan sangat perlu supaya mereka (orang muda) mempunyai semangat kemerdekaan yang bernas,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Car Boot Sale, di sini, baru-baru ini.

Ustaz Maliaman berkata, sambutan yang dimaksudkan bukan sahaja membawa bendera tetapi lebih dari itu dan yang lebih penting dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, merdeka bukan sahaja membawa maksud bebas daripada penjajah.

"Sebaliknya juga bermaksud bebas dari pengaruh anasir luar yang boleh memecahkan perpaduan kaum yang telah terjalin.

"Jadikan kisah kehidupan orang-orang dahulu yang hidup penuh harmoni sebagai contoh dan pupuk semangat patriotisme cintakan negara melebihi kepentingan diri sendiri,"ujarnya.


Tag: