lightning-solid
Berita :
Gong Medang Dirancang Jadi Hab Perindustrian Global
Gong Medang Dirancang Jadi Hab Perindustrian Global
Rohayati Ripin
57 minit yang lepas
80

BESUT, 8 Julai – Kawasan Perindustrian Gong Medang sedang dirancang untuk dinaik taraf daripada kawasan perindustrian berasaskan kayu kepada sebuah hab perindustrian yang lebih global.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, perancangan itu bertujuan menarik pelaburan baharu, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah Besut.

Menurut beliau, pembangunan tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu peningkatan infrastruktur kawasan perindustrian, kemudahan logistik menerusi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan infrastruktur digital.

Katanya, pembukaan ECRL yang dijangka beroperasi pada tahun 2027 dilihat mampu mengatasi kekangan logistik yang sebelum ini menjadi antara cabaran utama untuk menarik pelabur ke Besut, khususnya Gong Medang.

“Apabila ECRL beroperasi nanti, isu logistik tidak lagi menjadi penghalang.

“Dengan adanya stesen Jerteh, kawasan ini akan menjadi lebih mudah diakses dan mampu menarik lebih ramai pelabur,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, usaha memperkukuh kedudukan Gong Medang turut disokong melalui pembangunan infrastruktur digital di kawasan berkenaan.

Beliau memaklumkan, Telekom Malaysia secara prinsipnya telah bersetuju untuk mendaratkan kemudahan International Gateway dari Vietnam di Dendung, Besut.

Menurutnya, kemudahan itu bakal memperkukuh jaringan telekomunikasi dan digital di Besut, selain membuka potensi baharu kepada sektor berteknologi tinggi.

“Kemudahan ini berpotensi menarik pelaburan dalam sektor pusat data kerana lokasi Gong Medang sangat strategik.

“Kawasan ini terletak di antara Sungai Besut dan Sungai Kluang serta mempunyai sumber air yang mencukupi bagi memenuhi keperluan operasi industri tersebut,” katanya.

Tambah beliau, gabungan faktor logistik, infrastruktur perindustrian dan capaian digital itu diyakini mampu menjadikan Gong Medang sebagai kawasan tumpuan pelaburan baharu selepas ECRL mula beroperasi.

“Insya-Allah, dengan tiga faktor ini, kita akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan ke Gong Medang bermula pada tahun 2027,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan