lightning-solid
Berita :
Gotong-Royong Bubur Asyura Semarakkan Muharam di Felda Chalok Barat
Gotong-Royong Bubur Asyura Semarakkan Muharam di Felda Chalok Barat
Ariss Alias
20 jam yang lepas
42

SETIU, 15 Julai - Semangat gotong-royong dan ukhuwah terus mekar apabila kira-kira 100 penduduk menyertai Program Gotong-Royong Memasak Bubur Asyura yang diadakan di Masjid Felda Chalok Barat sempena bulan Muharam. 

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Felda Chalok Barat, JPKK Chalok Barat, JPKK Chalok Permai, JKKR Felda Chalok Barat, golongan belia, KAF, Kilang Sawit dan para peniaga itu turut dihadiri Timbalan Pengarah Wilayah Terengganu, Khamis Mansor serta Pengurus Felda Chalok Barat, Mohd Fairuz Bakar.

Sebanyak enam kawah bubur asyura dimasak menggunakan kira-kira 30 kilogram beras bersama pelbagai bahan lain seperti ubi dan jagung. Proses penyediaan mengambil masa hampir lima jam sebelum berjaya menghasilkan kira-kira 700 pek bubur untuk diagihkan kepada penduduk kampung. 

Objektif utama penganjuran program yang diadakan setiap tahun ini adalah bagi merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat di samping memelihara tradisi memasak bubur asyura yang menjadi amalan masyarakat setempat setiap kali menjelang bulan Muharam.

Keistimewaan penganjuran pada tahun ini ialah pertandingan memasak yang mempertandingkan kategori rasa dan hiasan, sekali gus menyemarakkan lagi semangat peserta untuk menghasilkan bubur asyura terbaik.

Program tersebut turut menyaksikan penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk belia, wanita dan warga emas yang berganding bahu menjayakan aktiviti memasak serta pengagihan bubur, sekali gus memperkukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam komuniti. 



Pengerusi JPKK Chalok Permai, Alias Sulaiman berharap tradisi memasak bubur asyura ini akan terus dipelihara sebagai warisan masyarakat dan menjadi medium untuk menyuburkan semangat gotong-royong dalam kalangan generasi muda. 

"Diharapkan program seperti ini dapat terus menyuburkan tradisi masyarakat serta merapatkan ukhuwah dalam kalangan penduduk, sekali gus memastikan warisan budaya ini terus diwarisi oleh generasi akan datang," kata beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan