Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin
DUNGUN, 6 September –Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap nasib mangsa bencana diteruskan menerusi Program Gotong-Royong Pasang Atap (Bencana) yang berlangsung di kawasan Felda Jerangau, hari ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bukit Besi dengan kerjasama Khidmat Malaysia Dungun, Jabatan Amal Dungun dan Felda itu diadakan sebagai usaha membantu mangsa yang terjejas akibat ribut baru-baru ini.
Program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu turut melibatkan orang ramai, sahabat serta sukarelawan yang membantu kerja-kerja pemasangan atap di kediaman mangsa.

Pendekatan turun padang seumpama itu turut memperlihatkan peranan sukarelawan dalam membantu meringankan beban masyarakat ketika berdepan musibah, khususnya apabila kerosakan kediaman memerlukan tindakan segera.
Selain itu, ia membawa mesej bahawa semangat gotong-royong dan kebersamaan masyarakat mampu menjadi kekuatan dalam membantu mereka yang ditimpa bencana.
