Jalur Gemilang
Berita :
Graduan Perlu Terjemah Ilmu Kepada Manfaat Masyarakat
Graduan Perlu Terjemah Ilmu Kepada Manfaat Masyarakat
Rohayati Ripin
12 Oct 26
2

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Graduan perlu menterjemahkan ilmu yang diperoleh kepada tindakan dan penyelesaian masalah yang memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar menjadikan sijil atau ijazah sebagai ukuran kejayaan.

Canselor University College TATI (UC TATI), Dato’ Ir Kamaluddin Abdul Rashid berkata, ilmu yang dimiliki graduan perlu membentuk cara berfikir, membuat keputusan dan melahirkan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat serta negara.

Menurutnya, graduan turut memikul amanah untuk memperkukuh masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan bangsa dengan berlandaskan jati diri, akhlak serta daya fikir bertaraf dunia.

“Ilmu yang saudara-saudari bawa pulang jangan sekadar menjadi sijil di tangan, tetapi harus menjadi nilai yang mengubah cara berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Terjemahkan ilmu menjadi gagasan, gagasan menjadi tindakan, dan tindakan menjadi manfaat. 

“Di situlah letaknya amanah seorang graduan mengangkat keluarga, memperkukuh masyarakat dan menyumbang kepada bangsa dengan jati diri, akhlak dan daya fikir bertaraf dunia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen UC TATI Kali Ke-26 di Dewan Canselor, UC TATI, pada Sabtu.

Beliau turut mengingatkan graduan supaya terus melangkah ke hadapan, tidak berputus asa dan menjadikan pengalaman sepanjang pengajian sebagai asas untuk menghadapi cabaran yang lebih besar dalam kehidupan serta kerjaya.

 “Jangan sekadar merenung bintang di langit. Walau setinggi mana pun impian, tak mungkin dapat dicapai dek tangan. 

 “Sebaliknya, lihatlah pada diri, renunglah dalam hati, semat di sanubari jadilah bintang yang terbilang, untuk dibuat sumber inspirasi di campak ke laut menjadi pulau, ke darat pula, menjadi gunung buat didaki,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan yang dicapai pada hari konvokesyen bukan hasil usaha graduan semata-mata, sebaliknya turut didorong pengorbanan ibu bapa, pasangan, ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan serta doa.

“Kejayaan yang digenggam hari ini, tidak mungkin terlaksana tanpa usaha gigih daripada yang empunya diri, apatah lagi pengorbanan daripada insan-insan yang dengan rela hati, berkorban untuk saudara-saudari melangkah di sini, demi segulung ijazah yang diimpi,” katanya.

Beliau turut berharap graduan mengekalkan hubungan dengan UC TATI sebagai alumni dan terus menabur bakti kepada agama, bangsa serta negara.

 "Mendoakan agar para graduan dikurniakan rezeki yang berkat, dipermudah urusan kerjaya dan sentiasa berpegang pada integriti dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing," tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan