lightning-solid
Berita :
Hab Industri Halal Baharu: Kemasik Tawar Lokasi Strategik
Hab Industri Halal Baharu: Kemasik Tawar Lokasi Strategik
Zahid Mustafar
11 Nov 25
108

KUALA TERENGGANU, 12 November – Kemasik berpotensi besar menjadi tumpuan baharu industri halal negeri apabila beberapa kawasan strategik dikenal pasti mampu dijadikan tapak pembangunan industri halal berskala besar di daerah Kemaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, pelaksanaan hab industri halal di kawasan itu akan membuka ruang pelaburan baharu dan memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai peneraju industri halal pantai timur.

"Dalam usaha memperkasa industri halal negeri, Kemasik dicadangkan sebagai antara lokasi utama bagi pembangunan hab industri halal baharu di daerah Kemaman.

"Cadangan ini penting bagi memanfaatkan kelebihan tanah sedia ada serta kedudukan strategik Kemasik yang mampu menarik pelabur dan penggiat industri," katanya ketika sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau menjelaskan, beberapa kawasan utama telah dikenal pasti sebagai tapak cadangan dengan keluasan mencukupi bagi tujuan pembangunan berimpak tinggi itu.

"Sebagai contoh, di Kemasik kita ada lokasi-lokasi strategik seperti di Kampung Chabang yang berdekatan dengan susur keluar Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

"Di kawasan itu terdapat lebih kurang 18 ekar tanah yang sedia dicadangkan untuk pembangunan industri halal," jelasnya.

Ir. Saiful turut menambah, terdapat kawasan lain berhampiran Stesen ECRL Kemasik yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

"Di kampung yang berhampiran dengan Stesen ECRL Kemasik, kita ada lebih kurang 50 ekar tanah untuk dicadangkan.

"Kedudukan ini amat strategik kerana ia berada di laluan utama pengangkutan yang bakal menjadi nadi kepada aktiviti ekonomi baharu," tambahnya.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kawasan perindustrian sedia ada di Kertih boleh dioptimumkan untuk memperkukuh pelan pembangunan industri halal negeri.

"Di kawasan perindustrian Kertih, kita mempunyai kawasan yang luas untuk dicadangkan sebagai kawasan industri halal baharu.

"Jika dimanfaatkan sepenuhnya, ia mampu menjadikan Kemaman sebagai hab industri halal paling dinamik di pantai timur," ujarnya.


Artikel Berkaitan