KUALA TERENGGANU, 15 Julai – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menghadiahkan sebuah helmet kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu pertemuan, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, hadiah berkenaan cukup istimewa kerana datang daripada seorang anak muda kelahiran Terengganu yang kini sedang membawa nama negeri dan Malaysia ke pentas dunia.
“Terima kasih kepada Hakim atas hadiah sebuah helmet. Hadiah yang cukup istimewa, apatah lagi datang daripada seorang anak muda Terengganu yang sedang membawa nama negeri dan negara ke pentas dunia,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, perjalanan Hakim dalam dunia permotoran bukan sesuatu yang asing baginya kerana telah mengikuti perkembangan pelumba itu sejak bergelar pelumba cilik.
Katanya, Hakim melalui pelbagai cabaran termasuk terjatuh, mengalami kecederaan dan bangkit semula sebelum muncul sebagai juara Asia Talent Cup.
“Bukan baru semalam saya kenal Hakim Danish. Sejak dia bermula sebagai pelumba cilik lagi, jatuh, cedera, bangkit semula, kemudian menjadi juara Asia Talent Cup, kita sudah nampak ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya,” ujarnya.
Ahmad Samsuri berkata, beberapa tahun lalu beliau pernah melawat Hakim bersama seorang lagi pelumba muda negara, Qabil Irfan, ketika mereka menjalani latihan di Litar Antarabangsa Sepang.

Dalam pertemuan itu, beliau meninggalkan pesanan ringkas, #NokMenang, sebagai pembakar semangat kepada kedua-dua pelumba berkenaan.
Jelasnya, pesanan itu bukan sekadar mahu mereka memenangi perlumbaan, tetapi turut membawa maksud supaya terus menang melawan ketakutan, keletihan, keraguan dan bangkit setiap kali diuji.
“Hari ini, Hakim terus membuktikan semangat itu dan sekali lagi mencipta pencapaian yang membanggakan di pentas dunia.
“Di sebalik setiap trofi, ada latihan yang panjang, pengorbanan keluarga, disiplin yang tinggi dan keberanian untuk terus bergerak walaupun jalannya tidak mudah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Hakim dan berharap pelumba muda itu terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Teruskan berlumba dan mencipta sejarah. Terengganu dan Malaysia bangga dengan Hakim Danish,” katanya.
