lightning-solid
Berita :
Hanya Penternak Tulen Layak Terima Lembu Baka Premium
Hanya Penternak Tulen Layak Terima Lembu Baka Premium
Zahid Mustafar
26 Nov 25
378

KUALA NERUS, 26 November – Kerajaan Terengganu memperkukuh pelaksanaan sistem pawah dengan memastikan hanya penternak tulen menerima lembu baka premium, sekali gus mengelakkan kegagalan program seperti yang pernah berlaku sebelum ini dan memastikan pembiakan ternakan berkualiti berkembang secara berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr Azman Ibrahim kejayaan sistem pawah bergantung kepada penerima yang benar-benar memiliki kemudahan penternakan dan pengalaman sebenar.

"Untuk memastikan program lembu pawah berjaya, penerimanya mestilah penternak tulen.

"Kalau awak tak ada lembu, tak ada kandang, tak ada padang ragut dan tali lembu pun mungkin tak ada, bagaimana awak nak bela lembu supaya membiak?," tegasnya dalam satu kenyataan rasmi beliau semalam.

Beliau menjelaskan bahawa sistem pawah diwujudkan untuk memastikan rantaian pembiakan lembu berkualiti dapat berkembang melalui pemulangan anak lembu kepada jabatan bagi diagihkan kepada penternak lain.

"Sistem pawah ini bermaksud penternak mesti memulangkan seekor anak kepada jabatan untuk kita besarkan dan diagihkan kepada penternak lain.

"Induk dan anak-anak lain tetap menjadi milik penternak selagi hayat lembu ada, namun program ini memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi," ujarnya.

Dr. Azman turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan menjalankan pemantauan rapi bagi memastikan ternakan dipelihara mengikut piawaian dan tidak disalahgunakan.

"Kerajaan tak minta banyak, cuma dalam tempoh tiga tahun seekor anak perlu dipulangkan kepada Jabatan Veterinar.

"Pemantauan berkala akan dilakukan untuk memastikan ternakan ini dipelihara dengan baik dan tidak diselewengkan daripada tujuan asal," tambahnya.


Artikel Berkaitan