• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Harrif Saleh Mahu Anak Muda Terengganu Berani Capai Impian

Harrif menunjukkan pingat yang diperolehinya di LTdL 2020.
KUALA NERUS, 17 Februari - Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) yang mencatat sejarah sebagai pelumba Asia pertama meraih tiga kejuaraan podium sejak mula menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL), Mohd Harrif Saleh menyeru anak-anak muda Terengganu supaya lebih berkeyakinan dan berani dalam mencapai impian.

Bercerita tentang video temu bualnya bersama wartawan ketika memenangi peringkat ketujuh kejohanan yang tular baru-baru ini, Harrif, 31, menyatakan keyakinannya banyak membantu kelancaran bahasa Inggerisnya.  

“Tahun lepas memang sudah ada video seperti itu, tetapi kali ini lagi tular. Saya pun bercakap memang begitu saja. Cakap ‘orang putih’ pun bunyi Terengganu juga.

“Macam saya, memang saya beranilah. Ini kerana saya berkomunikasi memang kena cakap bahasa Inggeris dengan jurulatih, dengan rakan-rakan sepasukan yang lain seperti dari Itali,” katanya.

Tambahnya, jangan sesekali rasa malu dan takut untuk bercakap dalam bahasa tersebut, sebaliknya berani sebagaimana rakan-rakan sepasukannya yang berbangsa lain dalam TSG.

Kepimpinan negeri bersama pasukan TSG.
“Kita tengok, dia cakap pun ‘berat’ juga macam kita, tetapi apa yang dikatakan kita boleh fahamlah. Kita jangan takutlah, yang penting kena ada keyakinan, keyakinan tu yang boleh bawa kita lagi jauh.

“Anak-anak muda kena bersungguh-sungguh, kena ada impian yang besar. Semua boleh buat jika kita bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.

Pasukan TSG yang menduduki tempat kedua keseluruhan dalam saingan kali ini disambut meriah oleh sekitar 100 peminat tempatan.

Turut hadir, Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim, Ahli Lembaga Pengarah TSG, Tengku Seri Bijaya Raja serta Dato’ Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ab. Rasid Jusoh.

Keluarga Harrif turut menyambut ketibaannya di LTSM semalam.


Tag: