• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Hayati Sejarah Dan Semangat Pejuang Kemerdekaan

HULU TERENGGANU, 16 Ogos - Keberanian dan kecekalan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan wajar dihayati dan dihargai kerana sifat kepahlawanan mereka telah membawa kebebasan hari ini untuk mencorakkan masa depan negara tercinta.

 Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, semangat yang ditiupkan ulama dahulu begitu padu hinggakan ramai sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi kelangsungan dan maruah agama, negara dan bangsa.

"Mereka menyuntik rasa kesedaran kepada masyarakat agar bersama-sama menggalas tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan negara.

“Telah tiba masanya untuk kita pula menyambung perjuangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan kemerdekaan negara. Kita juga perlu mempertahankan kedaulatan tanah air kita ini dengan sebaik mungkin agar anak-anak dan generasi seterusnya akan turut dapat mengecapi kebebasan seperti mana yang kita miliki sekarang," ujarnya ketika merasmikan Program Merdeka @ komuniti info on wheels Dun Ajil di Dataran Kampung Tok Dor Pagi ini anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam.

Justeru itu katanya, mereka yang berjiwa merdeka dan patriotisme akan menghargai sejarah, pahit getir dan kegigihan perjuangan generasi terdahulu memerdekakan negara.

"Malangnya, ada sesetengah pihak yang cuba mengubah fakta sejarah untuk mengelirukan generasi muda dengan maklumat dan informasi songsang yang menimbulkan kesangsian kepada fakta sebenar dan sejarah. 

"Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila.

"Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang," jelas Maliaman.

Tambah beliau lagi, semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patriotik yang tinggi.