lightning-solid
Berita :
Hijab Bukan Sekadar Bertudung, THD Bentuk Kefahaman Wanita
Hijab Bukan Sekadar Bertudung, THD Bentuk Kefahaman Wanita
Noraini Jusoh
15 jam yang lepas
115

Oleh: Fatimah Din
Foto: Nisa’ Marang


MARANG, 10 Februari – Terengganu Hijab Day (THD)  menjadi medium penting dalam membentuk kefahaman wanita Terengganu bahawa hijab bukan sekadar bertudung, sebaliknya perlu disempurnakan mengikut tuntutan syariat Islam.

Pengarah Urusetia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, realiti pemakaian hijab dalam kalangan wanita masa kini masih memerlukan bimbingan dan pencerahan berterusan.

“Memang benar wanita Terengganu majoritinya bertudung, malah golongan yang tidak menutup aurat juga semakin berkurangan. Namun apa yang membimbangkan ialah cara pemakaian hijab yang belum sepenuhnya menepati syariat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Terengganu Hijab Day Peringkat Daerah Marang anjuran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Nisa’ Marang yang  berlangsung di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, masih terdapat kekeliruan dalam memahami konsep hijab sebenar apabila sebahagian wanita menutup kepala tetapi tidak menepati ciri-ciri penutupan aurat yang dituntut Islam.

“Bila orang bertanya mengapa Terengganu Hijab Day perlu dianjurkan, jawapannya mudah, kita tidak boleh berpuas hati hanya dengan bertudung, sedangkan cara pemakaian masih belum sempurna,” tegasnya.

Program tersebut telah berjaya menghimpunkan kira-kira 80 orang peserta daripada pelbagai peringkat usia.

Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk kuiz, cabutan bertuah, pertandingan mewarna kanak-kanak serta slot pengisian ilmu bersama Mua’llim Pejabat Agama Daerah Marang, Fatimah Ibrahim.

Selain itu, program turut dimeriahkan dengan kehadiran bas bergerak Yayasan Kebajikan Masyarakat Malaysia (YKMM) serta beberapa gerai jualan yang memberi peluang kepada usahawan tempatan.

Penganjuran Terengganu Hijab Day ini diharap dapat meningkatkan kesedaran wanita Terengganu untuk terus memperbaiki cara pemakaian hijab sebagai lambang ketaatan dan maruah diri, selaras dengan tuntutan Islam.


Tag :

Artikel Berkaitan