Hijab Tarik Minat Pelancong Bukan Islam di TTI

KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Program memperkenalkan pemakaian hijab kepada pelancong bukan Islam terus mendapat sambutan menggalakkan dalam penganjuran kali kedua di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam. 

Naib Timbalan Pengerusi Khairunnisa, Dr. Farhana Husainy Hasbullah berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelancong asing mengenai keindahan dan makna di sebalik pemakaian hijab dalam Islam.

"Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan pengalaman berhijab kepada pelancong bukan Islam. 

"Ini merupakan usaha dakwah secara langsung yang bukan hanya memperkenalkan hijab, tetapi juga memperlihatkan keindahan Islam secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui media selepas program Street Dakwah Foreigner (Hijab Transformation) di Jeti Terminal, TTI.

Selain itu, program itu turut berperanan sebagai latihan praktikal kepada para daie, khususnya daripada kalangan DUAT, untuk menyantuni pelancong bukan Islam dari dalam dan luar negara.

Tambah beliau, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Terengganu yang menekankan aspek dakwah di bawah konsep 'Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera' , yang bukan sahaja menumpukan pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan sahsiah dan rohani.

"Antara pendekatan terbaik dalam menarik minat bukan Islam kepada Islam ialah melalui teladan akhlak dan keperibadian Muslim itu sendiri. Apabila mereka melihat sikap yang baik dan mesra, ia secara tidak langsung menjadi daya tarikan untuk mengenali Islam lebih dekat.

"Di samping dakwah secara tidak langsung, kita juga perlu proaktif dengan menganjurkan program dakwah di lokasi tumpuan pelancong seperti TTI, termasuk lawatan berpandu ke masjid dan tempat bersejarah," jelasnya.

Dr. Farhana turut menekankan pentingnya para daie menyantuni pelancong yang berkunjung ke masjid atau kawasan bersejarah kerana mungkin ada antara mereka yang ingin tahu tentang Islam tetapi tidak tahu kepada siapa hendak bertanya.

“Usaha ini perlu digerakkan oleh para pendakwah, termasuk sahabat Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), agar mereka mengambil peluang untuk menyampaikan Islam secara langsung di lokasi strategik,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa syukur apabila program edisi kedua ini berjaya menarik lebih ramai peserta dan menerima maklum balas positif.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Program ini juga tercetus hasil hasrat YB Exco Dr. Khalil agar ia diteruskan secara lebih meluas, khususnya dalam kalangan pelancong.

“Sepanjang program dari pagi hingga tengah hari ini, sambutan sangat memberangsangkan. Ia merupakan satu pengalaman bermakna bagi saya dan juga kepada semua peserta termasuk sukarelawan dan pelajar Ijazah Dakwah dari UniSZA,” ujarnya.

Jelas beliau, program berkenaan merupakan tahun kedua diadakan dan kesinambungan daripada kejayaan penganjuran tahun lalu.

“Program tahun lalu turut tular di media sosial seperti TikTok. Ia membuktikan bahawa content creator juga mampu memainkan peranan dalam dakwah melalui platform digital,” katanya lagi.

Beliau berharap agar lebih ramai anak muda tampil menghasilkan kandungan dakwah secara kreatif, bukan semata-mata untuk meraih tontonan, tetapi dengan niat ikhlas menyebarkan mesej Islam.


Tag: