• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

HOERBIGER Sumbang RM106,000 Kepada Mangsa Banjir

KEMAMAN, 15 Disember - HOERBIGER-KT Malaysia memberi sumbangan sebanyak RM106,000 kepada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Terengganu.

Usaha itu diambil oleh HOERBIGER setelah melihat beberapa kawasan terutamanya di Kemaman terjejas teruk akibat banjir.

Sumbangan tersebut digunakan untuk pembelian makanan dan keperluan asas yang akan diedarkan kepada 1,000 keluarga terjejas di Kemaman, Marang dan Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang mewakili kerajaan negeri menghargai jasa pihak HOERBIGER dan YFBM atas usaha terbabit.

"Ini menandakan bahawa seluruh masyarakat yang berada di negara kita tanpa mengira bangsa dan agama mengambil cakna kesengsaraan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir ini.

"Semoga HOERBIGER dan YFBM terus maju dalam bidang yang diceburi masing-masing seterusnya dapat melakukan kerja amal dalam membantu mereka yang memerlukan pertolongan," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis tersebut di Dewan Sivik Air Putih, semalam.

Dalam majlis itu, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak turut menerima sumbangan itu mewakili mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Turut bersama dalam majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar serta ketua-ketua jabatan.

Untuk makluman, HOERBIGER aktif di seluruh dunia dalam sektor tenaga, industri proses, industri automotif, sektor kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan keselamatan dan industri elektrik.

Produk dan perkhidmatan mereka digunakan dalam pemampat timbal balik, unit kawalan aliran gas, transmisi kenderaan, penggabung berputar, perlindungan letupan, enjin berkuasakan gas dan hidraulik kereta.