KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Keperluan pembinaan blok pembedahan baharu Hospital Besut dan pelaksanaan tiga cadangan projek jalan menjadi antara perkara yang dibangkitkan.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap keperluan pembangunan di Besut, selain menjelaskan jumlah peruntukan yang benar-benar disalurkan kepada daerah berkenaan.
Bagi sektor kesihatan, beliau membangkitkan cadangan pembinaan blok pembedahan baharu Hospital Besut yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta.
"Cadangan projek itu merangkumi bangunan klinikal, peralatan perubatan, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tempat letak kenderaan bertingkat serta kemudahan sokongan lain," jelasnya.
Menurut beliau, penilaian keperluan kesihatan daerah perlu mengambil kira jumlah pesakit, kapasiti kemudahan sedia ada, kekurangan tenaga kerja dan jarak perjalanan penduduk untuk mendapatkan rawatan.
“Kerajaan perlu menyediakan penilaian keperluan kesihatan daerah yang merangkumi bilangan pesakit, kapasiti kemudahan, kekurangan tenaga kerja dan juga jarak perjalanan penduduk untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Dalam aspek infrastruktur jalan raya, Che Mohamad Zulkifly membangkitkan tiga cadangan projek yang memerlukan perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Projek pertama ialah pembinaan jalan baharu dari Keruak, Besut, ke Cucur Puteri di Kelantan bagi menghubungkan laluan FT05 dengan Jalan D227 di kawasan berkenaan.
"Projek kedua pula melibatkan cadangan pembinaan jalan baharu dari kawasan Sekolah Kebangsaan Chong Hwa di laluan FT03 ke Kampung Raja melalui laluan FT48, Besut," ujarnya.
Selain itu, beliau membangkitkan cadangan menaik taraf Jalan FT65 dari kawasan Asrama Taman Ilmu hingga ke Jalan Masjid Taman Ilmu.
Tambahnya, projek berkenaan penting bagi meningkatkan hubungan jalan raya dan kemudahan pergerakan penduduk serta pengguna.
“Jadi banyaklah keperluan ini perlu diteruskan oleh pihak JKR supaya tidak tertangguh lagi,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap keperluan infrastruktur dan kemudahan kesihatan di Besut diberikan perhatian sewajarnya dalam perancangan pembangunan kerajaan, selaras dengan keperluan penduduk setempat.