• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hospital Pengajar UniSZA Beroperasi Secara Berperingkat April Ini

KUALA TERENGGANU, 24 Januari -  Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini siap sepenuhnya dan menunggu untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato' Sri Fadillah Yusof, berkata hospital setinggi enam tingkat yang dilengkapi 200 katil itu siap sepenuhnya pada 11 Disember 2021.

"Kita jangka hospital ini beroperasi  secara berperingkat bermula April 2022 setelah kelengkapan perubatan selesai dipasang di wad - wad di seluruh hospital.

"Hospital ini juga bakal menjadi pusat pengamalan ilmu kepakaran perubatan kepada para mahasiswa bidang perubatan UniSZA," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas membuat tinjauan ke Tapak Projek Seliaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya di Pejabat Tapak Projek Kuala Terengganu Bypass, Bukit Bayas, di sini hari ini.

Tambah beliau, selain dari blok utama, hospital itu turut dilengkapi dengan blok kejuruteraan, blok pengurusan jenazah dan blok hyperbaric.